• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Jaga Kebajikan Pekerja Resepi Kejayaan Tokoh Usahawan

KUALA TERENGGANU, 18 Mei - Menjaga kebajikan pekerja untuk melahirkan semangat serta kerjasama berpasukan menjadi rahsia kejayaan Aminuddin Mat Yusof, 57, yang terlibat dalam menguruskan perniagaan perkapalan.

Kerana itu beliau telah dinobatkan sebagai Tokoh Usahawan Terengganu 2022 oleh Yayasan Pembagunan Usahawan (YPU) Terengganu pada malam Anugerah Usahawan Terengganu (AUT2022) kelmarin.

Katanya, selama 25 tahun berkecimpung dalam bidang berkenaan, itulah yang diamalkannya bagi melahirkan sebuah pasukan kerja yang mantap terdiri hampir 700 kakitanganmya.

"Selain itu setiap bulan kita amalkan bacaan yassin dan solat hajat membabitkan semua staf juga meraikan sambutan hari lahir sebagai penghargaaan kepada meraka, supaya semua berkerja dalam suasana gembira.

"Saya juga turut menubuhkan Yayasan Sulaiman Al-Haj yang diberi nama sempena datuk saya untuk disalurkan bantuan pendidikan kepada anak kakitangan juga kepada sekolah-sekolah (yang terpilih di Terengganu) sebagai Program Tangggungjawab Sosial (CSR),"ujarnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Pengarah Urusan Amir Vision Sdn Bhd itu berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di AUT, di Taman Tamadun Islam di sini, kelmarin.

Majlis penyampaian AUT 2022 itu telah disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata tiada jalan mudah yang lalu untuk mengecapi kejayaan itu kerana pernah berhadapan dengan pelbagai cabaran yang terpaksa ditempuhi beliau.

"Cabaran terbesar ialah ketika kejatuhan industri minyak dan gas (sekitar tahun 2015) dimana setelah kapal disiapkan, kelima-lima kapal tidak disewa, jadi bayangkan bagaimana kita hendak bayar kepada bank jadi saya berunding dengan PETRONAS.

"Ketika itu saya melihat Duyong Marina juga dalam keadaan tidak bergerak, daripada situ timbul idea untuk mewujudkan pelabuhan untuk kakitangan Petronas ke pelantar minyak, jadi alhamdulillah Petronas berjaya menjimatkan kos RM2 bilion apabila menggunakan kapal menggantikan helikopter.

"Bukan satu benda yang mudah kerana perlu memikirkan bagaimana hendak bayar hutang bank dan gaji pekerja yang secara keseluruhannya mencecah RM2.8 juta setahun," katanya.

Tambah beliau, kerana berkat kesabaran dan sikap tidak berputus asa serta membentuk kerja berpasukan yang mantap menyebabkan apa jua halangan berjaya ditempuhi.

Untuk rekod, Aminuddin kini memiliki lima kapal utiliti yang bernilai RM125 juta dan sebuah kapal nelayan moden yang diperbuat daripada besi berharga RM10 juta.

Selain perusahaan dalam sektor perkapalan, beliau juga berjaya mengembangkan perniagaan dengan menubuhkan 15 syarikat dalam pelbagai bidang termasuk perikanan, industri halal serta pendidikan.