• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Jaga Kesihatan, Patuhi Peraturan Di Tanah Suci - Titah Sultan Mizan

Sultan Mizan bersalaman dengan jemaah haji.
KUALA NERUS, 17 Julai - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mengingatkan jemaah haji dari negeri ini supaya sentiasa menjaga kesihatan diri dan mematuhi arahan pihak berkuasa Arab Saudi.

Titah baginda, selain  menumpukan sepenuh perhatian semasa menunaikan haji, kebersihan dan kesihatan diri yang baik juga akan melahirkan kesempurnaan dalam ibadat tersebut.

“Beta merakamkan ucapan tahniah dan menyeru semua bakal jemaah haji bersyukur kerana terpilih sebagai tetamu Allah SWT untuk mengerjakan ibadat haji tahun ini.

“Semoga semua  jemaah haji yang terpilih menunaikan Rukun Islam kelima tahun ini dapat memberi tumpuan sepenuhnya dalam melaksanakan ibadat haji,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berangkat mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan pertama bakal jemaah haji seramai 150 orang melibatkan 66 lelaki dan 84 wanita di Tabung Haji (TH) Hotel & Convention Centre, di sini semalam.


Turut berkenan berangkat mengucapkan selamat jalan kepada bakal jemaah haji ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Hadir sama, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ A. Rahman Yahya, Pengurus Besar Simpanan dan Pengeluaran TH, Mohd Ridzuan Wahi dan Pengarah TH negeri, Datuk Mohyen Mosman.

Penerbangan pertama membawa kumpulan jemaah haji itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 1 pagi sebelum menyambung penerbangan ke Madinah pada jam 5.10 pagi.

Seramai 1,350 bakal jemaah haji dari seluruh negeri ini terpilih untuk menunaikan ibadat haji tahun ini dan sebanyak sembilan penerbangan disediakan TH.

Sultan Mizan turut menghargai komitmen TH dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah haji setiap tahun.

“Beta berharap usaha memantapkan pengurusan haji akan diteruskan supaya pengurusan haji negara sentiasa berada di tahap cemerlang dan menjadi contoh kepada negara Islam di seluruh dunia.




Tag: