• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Jambatan Baharu Marang Dalam Perhatian Kerajaan Negeri

Oleh : Hanif Hamdan

MARANG, 26 Julai - Cadangan  pembinaan jambatan baharu Marang yang lebih besar dan selesa sedang dalam perhatian kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh berkata, pembinaan jambatan baharu itu bakal menyelesaikan banyak masalah termasuk kesesakkan lalu lintas di laluan utama rakyat Terengganu itu.

Jelasnya, kesesakkan lalu lintas bukan sahaja berlaku ketika musim perayaan tetapi juga pada waktu puncak hari biasa selain turut menyebabkan kemalangan.

"Pelbagai isu yang berkaitan jambatan ini sedang dan akan diberi perhatian oleh kerajaan negeri.

"Masalah yang timbul ini menyebabkan pengguna tidak selesa dan disebabkan itu kita juga memohon pertimbangan kerajaan pusat untuk membina jambatan yang baharu," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan  Lawatan Kerja Ke Jambatan Marang bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), di sini kelmarin.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, jambatan yang sedia ada itu adalah jambatan lama dan telah mengalami banyak kerosakan.

"Jambatan yang sedia ada ini sudah berusia lebih 50 tahun dan ada kerosakan yang perlu dibaiki segera," katanya.

Pembinaan jambatan baharu dijangka membolehkan bot nelayan yang lebih besar merentasi bawah jambatan ini, sekaligus projek itu akan merangsang pembangunan infrastruktur dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi di daerah Marang.

 


Tag: