• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Jangan Bebankan Murid Dengan Berat Buku Ke Sekolah - Mahdzir

Mahdzir ketika menyempurnakan Majlis Graduasi Pelajar SPM dan STPM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman kali Ke-12 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini. Foto Oleh: Harish fadzillah Abu Kassim.

Murid sekolah rendah tidak seharusnya dibebani dengan berat buku yang perlu dibawa ke sekolah setiap hari, kata Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Mahdzir Khalid.

Menurutnya, berdasarkan kajian Kementerian Pendidikan, terdapat murid di sesetengah sekolah terpaksa membawa buku yang banyak dan terlampau berat sehingga membebankan mereka.

“Jangan bagi terlampau banyak beban kepada mereka sebaliknya bagi mereka rasa seronok untuk ke sekolah.

“Cukuplah dengan buku teks sahaja untuk buat kerja-kerja latihan di sekolah. Apabila dibebani dengan buku latihan tambahan adakalanya membuatkan anak-anak ini rasa tertekan,” ujarnya selepas menyempurnakan Majlis Graduasi 390 Pelajar SPM dan STPM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman kali Ke-12 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO  berkata demikian kepada pemberita bagi mengulas mengenai bebanan buku latihan tambahan yang terpaksa dibawa murid sekolah rendah di negara ini.


Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, Bazlan Abdul Rahman; Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussin, Yang Dipertua PIBG SMK Sultan Sulaiman, Dato’ Sabri Alwi dan Pengetua SMK Sultan Sulaiman, Samsudin Ismail.

Sementara itu, Mahdzir mengharapkan majlis graduasi berkenaan akan menjadi pembakar semangat kepada pelajar yang bakal menempuhi peperiksaan SPM dan STPM bermula 6 November hingga 4 Disember ini.


Tag: