• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Jangan Ulangi Kesilapan - Razif


Ahmad Razif bersama Zahid bersembang sesuatu pada selepas Perasmian Berkelompok Persidangan Agung UMNO Cawangan  di Stadium Negeri, Kuala Terengganu. Foto Harish Fadzillah Kassim

Rakyat Terengganu terutama generasi muda diingatkan agar tidak mengulangi kesilapan lalu yang pastinya membawa kepada zaman kesukaran, sebaliknya perlu bersatu di bawah kepimpinan parti Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata ramai yang sudah melalui pengalaman perit lima tahun di bawah `kegelapan bulan yang penuh gerhana'.

Katanya, janganlah zaman gerhana bulan itu diulit kembali sehingga bumi jadi gersang. serta jangan memberi ruang untuk `bunga yang tiada baunya, ditanam orang'.

“Oleh itu, marilah sama-sama kita membangun, mempertahan dan memelihara solidariti di setiap peringkat parti UMNO. Kerja membina solidariti ini bukan satu kerja bermusim.

“Sebaliknya perlu dijayakan oleh ahli parti dan kepimpinan kita pada setiap masa yang perlu berpaksikan kepada perlembagaan parti,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Perasmian Berkelompok Persidangan Agung UMNO Cawangan dan  Sayap-Sayap Peringkat Negeri Terengganu dan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Pusat Daerah Mengundi (PDM)  di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong serta barisan kepimpinan politik negeri.

Mesyuarat itu dirasmikan Naib Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Razif berkata, rakyat Terengganu harus bergerak menentang parti lawan dengan sepenuh kekuatan dan kehebatan pada setiap masa, harus bersaing dengan penuh berani dan berhujah dengan penuh hikmah.


tambahnya, semua 366 PDM telah bersiap- sedia dengan gerak kerja dan strategi yang tersusun untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau juga mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih dan syabas kepada semua pendokong parti yang sentiasa komited bagi emmastika kemenangan UMNO dan juga BN.

“Tahniah kepada PDM yang menang dan juga tahniah kepada UMNO Bahagian yang berjaya mengadakan pertandingan ini.

“Semoga ianya mengukuhkan solidariti kita semua ke arah mencapai kemenangan besar dalam PRU akan datang,”katanya.
.



Tag: