• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Jelajah Beautiful Terengganu Catat Kutipan Memberangsangkan


Hari pertama Program Jelajah Beautiful Terengganu 2017 yang berlangsung di Mydin Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang mencatatkan kutipan yang amat memberangsangkan.

Penolong Setiausaha Kerajaan Terengganu (Pelancongan & Kebudayaan), Wan Mohd Firdaus Wan Sembak berkata, untuk hari pertama, jumlah hasil daripada ruang pameran dan jualan peserta pameran mencecah hampir RM50,000.

Katanya, melihat situasi positif itu, tidak mustahil program tiga hari berkenaan mampu memberi pulangan menggalakkan kepada peserta yang terlibat terutama usahawan di bawah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).

"Niya Serunding yang menyediakan makanan tradisional Terengganu seperti keropok keping dan serunding mencatatkan jualan tertinggi sepanjang semalam bagi Consumer Show dengan kutipan sebanyak RM5,050.



"Manakala bagi Travel Mart, Kenyir Travel yang menjanjikan keindahan semula jadinya telah berjaya menjual pakej pelancongan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM16,500," katanya kepada Teganukita.

Program Jelajah Beautiful Terengganu 2017 yang bermula semalam selama tiga hari di Mydin Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang kini memasuki siri keempat sejak ia diperkenalkan untuk mempromosikan keunikan dan kepelbagaian di Terengganu.

Bagi siri jelajah kali ini, sebanyak 23 ruang pameran dibuka termasuk industri makanan dan asas tani, tekstil dan kraf, perkhidmatan pelancongan, produk spa dan kesihatan dan kecantikan serta banyak lagi.

Tag: