Jemaah Patuh SOP Solat Jumaat Hari Pertama PKP 2.0

KUALA NERUS, 22 Januari - Orang ramai didapati mematuhi pelaksanaan solat Jumaat di Terengganu dengan 40 jemaah sahaja dibenarkan tidak termasuk jawatankuasa dan mematuhi SOP sebagaimana digariskan.

Timbalan Pengerusi Masjid Seberang Takir, Abd Halim Ibrahim, berkata, pada hari pertama, pihaknya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada jemaah yang dipilih mengikut peraturan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

"Kehadiran 40 jemaah itu tidak termasuk imam, bilal dan ahli jawatankuasa masjid dan pekerja am.

“Selaku Timbalan Pengerusi dan bagi pihak ahli jawatankuasa Masjid Seberang Takir, kita mohon kehadiran jemaah ke masjid untuk mematuhi SOP kesihatan dan keselamatan yang diputuskan Kementerian Kesihatan Melaysia (KKM),” katanya selepas solat jumaat disini hari ini.

Bagaimanapun ujarnya, pelaksanaan kuliah maghrib, dhuha dan subuh serta kelas Al- Quran tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP 2.0 sehingga 4 Febuari depan.

“Pihak masjid mengambil pendekatan dengan memberi kad kepada ahli kariah secara bergilir-gilir seramai 40 orang disamping 25 orang jawatankuasa dan pekerja am,” tambahnya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai bersabar dengan kaedah yang pihak masjid perkenalkan dan berlapang dada kerana segala keputusan diputuskan oleh mesyuarat.

Seorang ahli kariah, Tarmizi Azhar menyatakan rasa bersyukur terpilih dan dapat menunaikan solat jumaat hari ini.

“Namun, semua yang berlaku adalah atas takdir Allah dan berdoa agar pandemik Covid-19 ini akan segera berakhir agar masjid dan surau kembali penuh dengan jemaah," katanya.


Tag: