• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

JKM Baik Pulih Beras Mangsa Banjir


Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 12 April - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Dungun, bakal membaik pulih dan membungkus semula beras persediaan banjir di Sektor Pengkalan Hadapan (SPH) tahun lalu untuk diagihkan kepada asnaf di daerah tersebut.

Manakala Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dibenarkan untuk memanfaatkan bekalan makanan lain yang belum melangkaui tarikh luput untuk kegunaan mana-mana program majlis berkenaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi.

Pegawai Penyelaras DUN tersebut, Ghazali Sulaiman berkata, beras yang diagihkan sebagai persediaan menghadapi banjir tahun lalu akan melalui proses pembersihan dan akan ditapis sebelum dibungkus semula dan diagihkan kepada mereka yang memerlukan bantuan.


"Ini kerana didapati beras itu banyak 'bubut' dan tidak sesuai untuk diagihkan kepada asnaf zakat dan sebagainya.

"Jadi, beras itu akan diserahkan semula kepada pihak JKM untuk dibaik pulih, dibungkus kembali dan kemudiannya dihantar kepada asnaf atau mereka yang memerlukan," jelasnya.

Katanya, sementara barang makanan lain termasuk sardin, biskut, teh dan sebagainya yang belum melangkaui tarikh luput, pihak JKM membenarkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menggunakannya untuk kegunaan program anjuran majlis berkenaan.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui pemberita di Sektor Pengkalan Hadapan (SPH) Mukim Jerangau, Bukit Besi, di sini, semalam.

SPH ialah 'post' yang menempatkan bekalan keperluan mangsa banjir yang terputus perhubungan utama di musim banjir.

Antara 'post' yang terlibat ialah SPH Kampung Pasir Raja, SPH Kampung Shukor, SPH Kampung Kuala Jengai, SPH Kampung Jongok Batu, SPH Kampung Minda, SPH Kampung Talong, SPH Kampung Rantau Panjang, SPH Kampung Tepus, SPH Kampung Nerang, SPH Kampung Batu Sawar dan SPH Mukim Jerangau.



Tag: