• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Jom Solat Terawih ‘Dalam’ Bazar TTC Mega Raya 2019


KUALA TERENGGANU, 27 Februari- Jika sebelum ini, masyarakat Muslim mungkin berbelah bagi untuk membeli persiapan Aidilfitri sepanjang bulan Ramadan kerana lebih menumpukan untuk beribadah. 

Namun, kini ia bukan lagi menjadi masalah terutama buat masyarakat di Kuala Terengganu dan kawasan sekitarnya, apabila berbaki 67 hari lagi menjelang Ramadan, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) melalui anak syarikatnya, Cakna Management Sdn. Bhd. bakal menganjurkan festival Terengganu Trade Centre (TTC) Mega Raya 2019 apabila menyediakan suasana kondusif bagi pengunjung Muslim yang ingin membeli belah tanpa mengabaikan ibadah solat sunat Tarawih.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman memberitahu, penganjur pesta jualan itu akan mengadakan solat Tarawih berjemaah di TTC sepanjang karnival berlangsung.

Menurut beliau, pelaksanaan ini selaras matlamat kerajaan negeri yang meletakkan Islam sebagai asas dalam pentadbiran.

“Kita akan menyediakan ruangan solat yang boleh memuatkan 300 jemaah pada satu-satu masa bagi memberi peluang kepada peniaga dan pengunjung menjalankan ibadah sunat Solat Tarawih.

“Kita akan turut menyediakan seorang imam untuk mengetuai solat sepanjang karnival berlangsung,” katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) sambil berjanji akan turut hadir menyampaikan tazkirah sempena program tersebut.

Beliau berkata demikian pada sidang media TTC Mega Raya 2019 yang diadakan di pejabat Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), di sini, baru-baru ini.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Anuar Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif Cakna Management, Mohd Radhi Kamaruddin.

Nurkhuzaini turut mengumumkan, TTC Mega Raya juga mengadakan cabutan bertuah secara mingguan dengan menawarkan hadiah berupa barangan elektrik manakala, hadiah utama berupa pakej umrah yang bakal menanti pengunjung bertuah.

“Cabutan bertuah ini boleh disertai dengan setiap pembelian bernilai RM30 ke atas dalam satu resit,” katanya.

Karnival berkenaan akan berlangsung selama 27 hari bermula pada 9 Mei hingga 4 Jun iaitu pada hari keempat Ramadan sehingga ke malam hari raya.

Jualan pelbagai jenis barangan daripada 160 lot gerai di dalam ruang perniagaan berhawa dingin, TTC Mega Raya bakal memberikan keselesaan buat pengunjung yang datang bersama keluarga.

YPU berhasrat menjadikan karnival sebagai pusat sehenti (one stop centre) kepada rakyat Terengganu untuk datang mendapatkan keperluan hari raya dengan lebih nyaman dan selesa.

“Pelbagai kelengkapan persiapan Hari Raya Aidilfitri antaranya pakaian, pelbagai jenis tudung dan kuih-muih serta persiapan rumah akan dijual di sini.

“Kita juga mengingatkan peniaga-peniaga yang terlibat untuk menjual dengan harga berpatutan,” katanya.

TTC Mega Raya dianjurkan Cakna Management semenjak 2013.  Pada tahun ini, YPU berharap dengan suasana kondusif, harga berpatutan dan aktiviti yang bersesuaian dalam bulan Ramadan, rakyat Terengganu akan menjadikan karnival berkenaan sebagai pusat tumpuan sepanjang ia berlangsung.  




Tag: