• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

JPJ Bersama Komuniti Dapat Sambutan Masyarakat Kampung

SETIU, 30 Mei - Program Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turun padang mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit yang diadakan di Perkarangan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dun, Batu Rakit, baru-baru ini.

Lebih 100 pemilik motosikal terdiri petani, buruh dan nelayan hadir untuk memperbaharui semula cukai jalan motosikal masing-masing yang tamat tempoh.

Usaha JPJ ini dilihat memberi banyak manfaat kepada penduduk tempatan selain tidak perlu turun ke bandar untuk menyambung cukai jalan juga mendapat maklumat mengenai perkhidmatan lain yang disediakan jabatan itu.

“Saya amat berpuas hati dengan program ini dan berharap ia diadakan setiap setahun bagi memudahkan kami yang tinggal di kampung untuk perbaharui cukai jalan,” kata Encik Hasbullah Abdul Salam duduk di Kampung Bukit Nenasi, Batu Rakit.

Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Dun Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail turut meluangkan masa bersama orang ramai sambil bertanya khabar.

Beliau memuji jabatan yang sedia turun ke bawah untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat di samping dapat menyalurkan maklumat jabatan.

“Kepentingan rakyat menjadi agenda utama kerajaan dan golongan yang tidak mampu diberi bantuan dengan apa cara sekali pun, contohnya hari ini JPJ dan Tabung Haji datang untuk memudahkan penduduk di sini berurusan dengan jabatan itu,” katanya.

Sementara itu, urusetia program , Adli Ngah menyifatkan program sebulan sekali diadakan di DUN Batu Rakit ini telah mencapai matlamat jabatan untuk memberi khidmat terbaik kepada masyarakat di luar bandar.

“Daripada maklum balas yang kami terima, ramai meminta perkhidmatan JPJ ini di teruskan pada masa akan datang,” katanya.


Tag: