• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

JPKK Lebih Efektif Dan Efisien Bagi Pembangunan Kampung

HULU TERENGGANU, 2 Mac-Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Manir disarankan menjadi institusi yang lebih efektif dan efisien dalam pembangunan kampung.

Timbalan Pengerusi Pertanian, Industri Makanan, Komuditi dan Pembangunan Luar Bandar Ustaz Hilmi Dato’ Harun berkata, peranan JPKK amat penting bagi membantu dalam pelaksanaan dasar-dasar kerajaan dan menjadi agen penghubung antara rakyat dan kerajaan sehingga ke akar umbi. 

“Sebab itu antara fungsi utama JPKK adalah membuat perancangan dan pelaksanaan program di kampung disamping menggerakkan penglibatan komuniti setempat," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Penyerahan Watikah Pelantikan JPKK bagi Dewan Undangan Negeri DUN Manir di Bilik Seminar Pusat Khidmat Masyarakat Kubang Lembek, hari ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut Penghulu Mukim Tanah Lot Manir, Khairul Syahril Othman dan Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera( I-MiTS )Manir, Zulkifli Abdullah.

Hilmi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, turut menyarankan JPKK agar bertindak sebagai ejen transformasi luar bandar yang bertindak membantu kerajaan mengenal pasti keperluan masyarakat di kampung masing-masing.

“Jawatankuasa JPKK juga boleh menjadi orang tengah dalam memberi penerangan yang jelas kepada rakyat tentang dasar dan polisi yang dilaksana kerajaan," tambahnya.