• 24 Okt 2020 | 7 Rabiul Awal 1442

JPV Terengganu Bantu Penternak Tangani Masalah Haiwan

KUALA TERENGGANU, 29 September – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu (JPV) sentiasa mengadakan pelbagai inisiatif bagi membantu penternak dalam menyelesaikan masalah berkaitan kesihatan haiwan ternakan di negeri ini.

Pengarah JPV Terengganu, Dr. Mohd Termizi Ghazali berkata, tugas JPV meliputi pengawalan dan pencegahan penyakit haiwan, pemantauan kualiti makanan dan ternakan serta beberapa lagi tanggungjawab berkaitan industri penternakan dan makanan

"Kita turut mengkaji penyakit dan melibatkan sembilan jenis bidang perkhidmatan, 33 disiplin dan 112 aktiviti.

"Contohnya, untuk meningkatkan liputan dan keberkesanan kawalan penyakit haiwan ternak, tindakan awal sentiasa dibuat seperti Program Mesra Penternak iaitu program sehari bersama enam atau tujuh penternak, serta melawat, merawat dan memberi nasihat berkaitan dengan haiwan ternak mereka.

"Selain itu, Program Jenguk-Jenguk Kandang untuk melatih penternak berkaitan topik penjagaan haiwan ternak. Program lain juga seperti Halaqah Veterinar melibatkan perbincangan dua hala bersama penternak tentang isu-isu secara terperinci," katanya ketika siaran langsung di TVDI hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, program tersebut adalah berdasarkan permintaan penternak dan dihebohkan dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

"Kerjasama tiada masalah cuma kekangan pertama adalah mencari masa untuk bertemu dengan penternak. Oleh itu, JPV mengambil inisiatif dengan menyantuni golongan penternak di tempat mereka," tambah beliau.

Dalam perkembangan lain, Mohd Termizi memaklumkan, program suntikan berkala turut dijalankan secara berperingkat memandangkan jumlah lembu dan kerbau di Terengganu dianggarkan sekitar 95,000 ekor.

"Mengikut statistik terkini, suntikan vaksin penyakit kuku dan mulut (FMD) sebanyak 15,000 ekor manakala 11,013 ekor menerima suntikan vaksin hawar berdarah, kalau tiada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jumlah tersebut mungkin tinggi lagi.

"Penvaksinan adalah percuma di seluruh negeri kerana kos vaksin ditanggung kerajaan, jadi tiada sebab untuk tidak mengambil peluang ini. Hanya perlu kandangkan haiwan dan kita suntik," ulasnya lagi.