• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Jualan Kasih Sayang Mahabbah, Bantu Penduduk Hadapi Ramadan


Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 2 Mei- Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi menganjurkan Program Jualan Kasih Sayang Mahabbah sebagai platform membantu penduduk setempat mendapatkan bekalan makanan dengan harga berpatutan menjelang Ramadan tidak lama lagi.

Pegawai Penyelaras DUN Berkenaan, Ghazali Sulaiman berkata, jualan berkenaan adalah sebagai tanda kecaknaan dan keprihatinan kepada masyarakat Islam  yang sedang sibuk membuat persiapan dan membeli-belah pelbagai keperluan dapur bagi menyambut puasa.

Katanya, Program Jualan Kasih Sayang Mahabbah akan diadakan di Dewan Sivik Felda Jerangau, pada 3 Mei (esok) bermula jam 8.30 pag. Sehubungan itu, seluruh rakyat Bukit Besi dijemput hadir bagi memanfaatkan program itu.

"Alhamdulillah untuk tujuan itu kita telah mengadakan pertemuan dan berbincang dengan pemborong untuk merealisasikan program ini.

"Pihak pemborong telah pun bersetuju dengan meletakkan harga bahan mentah seperti ayam, pelbagai jenis ikan, sayuran dan barang-barang basah denga harga yang berpatutan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi, pagi ini.

Ghazali berkata, antara barangan lain yang turut dijual adalah barangan seperti gula, tepung, bawang dan pelbagai barangan keperluan harian.

"Kita memahami bahawa kos sara hidup yang makin tinggi akan membebankan rakyat pada musim menghadapi Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.

"Diharapkan program ini akan dapat membantu meringankan bebanan yang dihadapi, "jelasnya.


Tag: