• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Juara Kalam Jama’ie 2019 Milik SMAASZA



KUALA TERENGGANU, 18 April-  Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) di sini menjuarai pertandingan Kalam Jama'ie peringkat negeri 2019 dalam Program Pengukuhan Bahasa Arab Piala Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM).

Sekolah berkenaan yang membawa pulang piala, medal, sijil dan wang tunai turut menerima anugerah Skrip Terbaik manakala naib johan disandang oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji Abbas dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Maarif di tempat ketiga.

Pertandingan Dikir Arab dimenangi SMA Ittifakiah (juara), SMKA Wataniah (kedua), SMA Sultan Zainal Abidin, Ladang (ketiga).


Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Majlis Pengurniaan Hadiah Program Pengukuhan Bahasa Arab Dan Program Pengukuhan Bahasa Inggeris Piala Yayasan DiRaja Sultan Mizan 2019 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta anakanda baginda Tengku Nadhirah Zahrah, Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Fatimatuz Zahra’.

Turut mengiringi, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri, Tuan Faezah Tuan Abd Rahman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya dan isteri To’ Puan Kamsiah Dollah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali dan isteri, Zarani Othman.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan DiRaja Sultan Mizan merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Piala Yayasan DiRaja Sultan Mizan 2019, Dato’ Prof. Emeritus Dr. Abdul Rahman Embong dan isteri To’ Puan Suraya Lee Abdullah serta Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussin.


Bagi Program Pengukuhan Bahasa Inggeris pula, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong muncul sebagai johan kategori Chorasical Sketch diikuti tempat kedua, SMK Sultan Ismail 2 dan SMK Bukit Tunggal (ketiga).

Bagi pertandingan Chain Story Telling, johan disandang oleh SMK Mat Lagam diikuti kedua, SMK Sultan Sulaiman dan ketiga, Maktab Rendah Sains Mara Kuala Terengganu dan Kota Putera Besut.

Kategori Smart English, Sekolah Kebangsaan (SK) Putera Jaya, Setiu muncul sebagai juara manakala naib johan disandang oleh SK Sultan Sulaiman 1 dan ketiga, SK Sultan Ismail.

Tag: