• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Kaedah Integrasi ‘2 In 1’ Bantu Tingkat Pendapatan Pekebun Kecil

Kerajaan negeri sentiasa rangka jalan untuk tingkatkan ekonomi rakyat- Dr. Azman.


Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 26 Jun – Kaedah integrasi terus diperkenalkan bagi meningkatkan sumber pendapatan terutama   bagi golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) samada untuk pertanian mahupun  penternakan secara ‘2 in 1’ dengan memanfaatkan  keluasan tanah semaksimum mungkin.

Pengerusi  Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata dengan keluasan yang terhad, kaedah ini amat membantu pekebun kecil yang tidak mempunyai tanah lain.

“Disebabkan itu, kita menggalakkan industri sampingan dalam kebun getah atau kelapa sawit samada penternakan ataupun  tanaman seperti  ayam, lembu, kambing, labu, tembikai dan nenas.

“Bagi yang kekurangan modal untuk mengusahakan samada sektor pertanian, penternakan, perikanan dan asas tani boleh dibantu dengan Skim Bantuan Modal Tani,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Koperasi Pekebun Kecil Daerah Besut/Setiu Bhd. kali ke-36 di Peladang Setiu Agro Resort, semalam.
 
Mesyuarat berlangsung lancar dengan kerjasama para peserta.
Menurutnya, RM1.183 Juta telah diluluskan kepada lebih 40 orang penerima  untuk sektor ini.

Antara yang mendapat permintaan  tertinggi ialah fertigasi  pembenihan  kerapu hybrid, penternakan lembu dan kambing, pertanian yang menggunakan polibag, ada sistem perairan yang memanfaatkan keluasan yang paling minimum dengan hasil yang paling baik.

“Bila bercakap  soal mahu meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah ataupun sawit, kita perlu berpijak di bumi nyata, cari di mana mereka ini berada.

“Tentu sekali kita tidak mahu mereka berhijrah ke Kuala Lumpur, tukar kerja daripada pekebun kecil jadi nelayan. Biarlah mereka kekal dalam dunianya  dengan bantuan yang mampu kita beri. Inilah yang menjadi  falsafah kerajaan negeri ,” katanya.
 
Antara peserta yang hadir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu turut memaklumkan, terdapat pelbagai program dalam rangka untuk  memendekkan rantaian pemasaran terus dari pengeluar kepada pengguna tanpa menjadi mangsa mainan orang tengah yang boleh dimanfaatkan.

“Antaranya, jualan terus dari ladang, pasar segar, pasar nelayan dan pasar ternakan. Ini  antara program-program yang kita buat untuk mempertemukan terus pengeluar dengan pengguna agar mendapat harga yang lebih rendah. Dalam pada masa yang sama, pengeluar dapat harga yang lebih tinggi.

“Kepada petani dan pekebun kita,  jangan segan untuk pergi ke Jabatan-jabatan samada Lembaga Pertubuhan Peladang, Jabatan Pertanian, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan  Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri  kerana terdapat banyak bantuan samada dari kerajaan pusat ataupun kerajaan negeri untuk kita bantu para petani, pekebun dan rakyat,’’ ujarnya.



Tag: