• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kanak-Kanak Hampir Buta Angkara Mercun Diubahsuai

KUALA TERENGGANU, 6 April - Empat kanak-kanak cedera akibat bermain mercun yang telah diubahsuai dalam satu kejadian di Kuala Nerus, pada Selasa baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, salah seorang daripada kanak-kanak  itu telah menyalakan mercun yang diubah suai lalu menyebabkan berlaku letupan kuat.

Katanya, kejadian tersebut disedari oleh abang mangsa yang berusia 25 tahun dan  membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam apabila kanak-kanak berusia lingkungan 8 hingga 13 tahun itu sedang bermain mercun berhampiran kawasan rumah mereka.

“Salah seorang mangsa masih diberikan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana mengalami kecederaan di bahagian mata sebelah kanan.

“Sementara itu, tiga orang lagi rakan mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama akibat kecederaan pada anggota tubuh badan,” ujarnya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Abdul Rahim, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

Tambahnya, kes turut di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu kesalahan mengabaikan kanak-kanak yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

"Orang ramai terutama ibu bapa diminta sentiasa memantau dan mengawasi aktiviti anak-anak di bawah umur semasa mereka bermain bunga api atau mercun terutama pada musim perayaan ini," ujarnya.