• 22 Mei 2024 | 14 Zulkaedah 1445

Kaum Ibu Kumpul RM16,380 Dalam 48 Jam Untuk Mangsa Banjir

MARANG, 26 Disember - Kaum ibu di daerah ini tidak ketinggalan dalam membantu mangsa banjir apabila Dewan Muslimat PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM16,380 dalam tempoh 48 jam.

Ketuanya, Faridah Omar berkata kutipan itu akan disalurkan kepada mangsa yang terjejas di Pahang.

Katanya, kutipan itu dibuat sebaik sahaja mendapat maklumat Khidmat Malaysia Marang akan mengadakan misi membantu mangsa banjir.

"Walaupun tidak dapat menyumbang bantuan tenaga di lokasi, kutipan derma ini akan dapat membantu mangsa sedikit sebanyak.

"Kutipan derma itu disumbang melalui muslimat daripada seluruh cawangan yang berada di kawasan DUN Rhu Rendang," katanya kepada pemberita.

Menurutnya lagi, terdapat juga individu yang menyumbang secara peribadi, malah Ameerah DUN Rhu Rendang juga turut menyerahkan bantuan berbentuk keperluan peribadi wanita dan keperluan asas.

Sementara itu, jentera bantuan banjir dari Rhu Rendang akan disertai oleh pemuda, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jabatan Amal dan Majlis Tindakan Dun (MTD) melalui rombongan Khidmat Malaysia Marang.

Misi membantu mangsa banjir itu berlangsung selama dua hari bermula jumaat lalu di Kuantan, Pahang.

Sumbangan itu diserahkan kepada wakil sekretariat Khidmat Malaysia DUN Rhu Rendang, Najmuddin Rani.

 


Tag: