• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

'Kayuhan YB' Hangatkan Hari Pertama Karnival Bukit Payong Sejahtera

Mohd Nor Hamzah (depan kanan).
MARANG, 2 Mei - Acara 'Kayuhan Yang Berhormat (YB)' bersama komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong menghangatkan hari pertama Karnival Bukit Payong Sejahtera yang bermula semalam.

Acara itu diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah serta Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Hadir sama, Penghulu Mukim Marang, Ahmad Zafiri Ahmad Zaki dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.

Turut memeriahkan acara itu ialah pelumba basikal adik-beradik pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Zamri Salleh dan Mohd Hariff Salleh.
 
Kayuhan sempena Karnival Bukit Payong Sejahtera.
Kayuhan yang bermula pada 5.00 petang itu mendapat sambutan yang menggalakkan apabila sekitar 100 peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur mengambil bahagian.

Acara itu bermula dari tapak Pasar Kedai Buluh kemudian bergerak ke dua 'checkpoint' sebelum kembali ke tapak permulaan dengan melengkapkan kayuhan sebanyak 11km.

Karnival Bukit Payong Sejahtera yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Payong menyajikan pelbagai aktiviti menarik yang berbentuk kemasyarakatan dan keagaaman.

Kumpulan nasyid terkenal tanah air, Hijjaz akan membuat persembahan pada malam kemuncak karnival, Sabtu ini.


Tag: