• 28 Okt 2020 | 11 Rabiul Awal 1442

Kebun Cili Khairunnisa' Mula Keluarkan Hasil

Oleh: Daing Siti Norbaity

SETIU, 29 Mei - Projek penanaman cili secara fertigasi yang diusahakan Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa') di atas tanah seluas dua ekar di Kampung Mengabang Lekor, di sini mula mengeluarkan hasil.

Pengerusi Khairunnisa', To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman yang mesra dengan panggilan Kak Zah berkata, tuaian pertama cili pada bulan Ramadan lalu mencecah hampir 110 kilogram.

"Hasil tuaian tersebut telah dijual kepada pemborong sayur-sayuran.

"Kak Zah ingin buktikan dan mengajak rakyat Terengganu untuk memanfaatkan kawasan tanah terbiar dengan dijadikan kebun komuniti.

"Bermula dari laman kecil, jika bersungguh-sungguh usaha ini boleh mendatangkan manfaat jika kita tekun dan berazam untuk berjaya," ujarnya kepada pemberita kelmarin.

Turut hadir ke kebun cili Khairunnisa' beberapa hari lalu ialah Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah & Kesejahteraan Pentadbiran Negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar, Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Pembangunan Insan dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah serta Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.

Tidak memadai dengan laman kediaman rasmi yang dipenuhi pelbagai tanaman sayur-sayuran dan bunga, Kak Zah yang juga isteri Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar terus mengorak langkah 'mempromosikan' pertanian bandar secara lebih kormesial.

Jelas terbukti, usaha beliau dan ahli Khairunnisa' telah berjaya menukarkan kawasan semak samun dan manfaatkan tanah terbiar milik Khairunnisa' seluas dua ekar itu kepada kebun cili.

Sementara itu menurut Kak Zah, suaminya turut mengagumi inisiatif Khairunnisa' yang mengusahakan tanah terbiar untuk projek yang bermanfaat.

"Sebagai tanda sokongan dan penghargaan, Dr. Sam juga turun ke kebun bagi memetik hasil cili yang lebat.

"Dr Sam suka sangat kalau diajak ke kebun ni, dia pun puas hati tengok hasil usaha daripada 'zero'. Dah dua tiga kali turun membantu, antara terapi beliau juga," jelas Kak Zah.