• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Keenakan Kuih Nganang 'Mok' Tiada Tandingan

MARANG, 16 April- Keenakan kuih ‘nganang’ di Kampung Batu 10, Padang Mengkuang, di sini menjadi pilihan penduduk tempatan dan masyarakat luar sepanjang Ramadan.

Pembuat nganang, Hasnah Mat Zin, 72, atau lebih mesra dengan panggilan mok berkata, adunan untuk membuat pemanis mulut yang berlemak manis itu disediakan sendiri olehnya dengan menggunakan resepi turun temurun keluarga sejak 30 tahun lalu.

Katanya, setiap hari sebaik sahaja selesai menunaikan solat Subuh, dia akan membancuh adunan untuk penyediaan kuih nganang dan dapur arang digunakan bagi membakar kuih tersebut supaya aroma aslinya tidak hilang.

“Sekarang nie, mok buat dok banyak macam dulu, anak-anak pun dok bagi sebenornya mok buat nganang sebab masuk usia warga emas doh, tapi sebab minat mok buat jugak.

“Biasanya dalam pukul 11 habis doh. Dengan dibantu dua pekerja, mok buat nganang telur, nganang kacang dan kuih bakar. Peminat nganang sanggup tunggu kuih siap dibakar asalkan dapat rasa nganang mok untuk juadah berbuka puasa," katanya ketika ditemui UPDI baru-baru ini.

Hasnah berkata, pada tahun ini dia terpaksa menjual sebiji nganang dengan harga sekitar RM8 kerana kenaikan harga bahan mentah, namun tetap mendapat sambutan daripada pelanggan.

"Kebanyakan pelanggan terdiri daripada pelanggan tetap malah ada juga pelanggan baru yang mahu mencuba sendiri keenakan kuih nganang yang diberitahu rakan-rakan," katanya.

Tambah Hasnah, dia bersyukur kerana resepi turut temurun keluarganya itu terus diwarisi oleh anak cucunya.

“Alhamdullillah, anak sulong mok sanggup berhenti kerja kerajaan untuk jual nganang yang turut dibantu oleh anak-anaknya di Kampung Bukit Bayas, dan mok harap sangat ianya terus dipertahankan agar generasi akan datang dapat merasai keenakan kuih tradsional negeri kita ini,”ujarnya.