• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

'Kejar Kekayaan, Alam Sekitar Jangan Diabai' - Dr Alias Razak

Dr. Alias Razak
KEMAMAN, 29 Jun - Kerajaan Terengganu memberi peringatan kepada semua pemain sektor industri di negeri itu supaya mematuhi syarat operasi bagi menjaga kelestarian alam sekitar.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak menegaskan, wujud segelintir pengusaha syarikat yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan kerosakan alam semula jadi.

Jelasnya, ketiadaan sikap menyayangi dan memelihara alam sekitar itu boleh membawa kemusnahan dan bencana kepada manusia itu sendiri.

"Pelepasan 'efluen' yang tidak mengikut peraturan ditetapkan dan pelupusan haram buangan toksik juga menyebabkan kerosakan di muka bumi ini.

"Sektor industri digalakkan untuk lebih proaktif menjalankan operasinya dengan penggunaan teknologi bersih dan menerapkan elemen bersih dalam proses pengeluaran masing-masing, secara tidak langsung dapat mengurangkan pencemaran," ujar beliau.


Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Hari Alam Sekitar Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Sivik Kertih dan Kampung Baru Kemasik, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu, Ramli Abd Rahman, Pegawai Daerah Kemaman, Osman A. Bakar, Ketua-Ketua Jabatan serta pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi.

Sementara itu, Alias turut menggesa masyarakat agar tidak bersikap acuh tidak acuh terhadap penggunaan bahan peribadi terutamanya dalam aspek pembuangan sampah.

Katanya, kerosakan alam sekitar akibat tangan manusia merugikan kerajaan dan rakyat Terengganu sendiri.

"Masyarakat boleh membantu kerajaan dengan mengamalkan gaya hidup lestari seperti penggunaan alat elektrik yang efisien, mengurangkan penjanaan buangan menerusi konsep Recovery, Recycling, Reuse, Reduction (4R) dan tidak melakukan pembakaran terbuka.


"Jika ini tidak dijaga, dana ataupun kos yang sepatutnya diperuntukkan pada kebajikan rakyat terpaksa dipotong dan dikurangkan bagi memulihkan kembali kerosakan alam sekitar yang berlaku," tambahnya.


Tag: