• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Kejatuhan Nilai Ringgit Tidak Jejas Sektor Pelancongan

KUALA NERUS, 20 Mei - Penyusutan nilai mata wang Ringgit Malaysia tidak memberi kesan kepada industri pelancongan secara keseluruhan di dalam negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Syukri berkata, sehingga kini industri pelancongan masih bertahan walaupun negara kini mengalami kejatuhan nilai ringgit.

"Sehingga hari ini dari segi mobiliti pelancong belum menunjukkan kesan negatif dan sektor tersebut  masih lagi berjalan seperti biasa.

"Jika kita lihat, berlaku peningkatan tempahan di hotel-hotel dalam negara malah ada yang sudah penuh terutama pada hujung minggu dan musim cuti persekolahan," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Rewang Raya dan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2022 di Masjid Seberang Takir di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nancy berkata, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) memberikan pelbagai subsidi bagi mengurangkan beban dan menggalakkan  pelancong domestik untuk bercuti di dalam negara dalam fasa endemik.

"Antara subsidi yang kita berikan adalah diskaun baucar hotel, penerbangan, pengangkutan darat, spa dan semua yang berkaitan dengan pelancongan," katanya.