• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Kejohanan Boling Erat Hubungan Terengganu Inc-Anak Syarikat

Maliaman Kassim melakukan gimik perasmian kejohanan.
KUALA TERENGGANU, 21 April - 'Bowling Tournament Staff Get-Together' antara Terengganu Incoperated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc) dan anak syarikat termasuk media yang diadakan semalam berjaya menjalinkan hubungan dengan lebih erat.

Kejohanan yang julung kalinya dianjurkan itu merupakan satu usaha Terengganu Inc dalam menghargai sumbangan anak syarikat dan petugas media selain mengamalkan gaya hidup sihat menerusi pembudayaan sukan.

Mewakili penganjur, Naib Presiden Komunikasi Strategik Terengganu Inc, Suridah Supian berkata, program tersebut melibatkan beberapa kumpulan media akhbar cetak, elektronik arus perdana, portal berita dan juga beberapa anak syarikat dan mendapat sambutan yang sangat baik.

“Kejohanan ini merangkumkan 16 keseluruhan anak syarikat di bawah Terengganu Inc, alhamdulillah kita berjaya mengumpulkan sebanyak 104 peserta untuk bersama-sama kita hari ini.

“Kita berharap program ini akan dapat dijalankan lagi untuk tahun hadapan, supaya bersama kita dapat mengenali dengan lebih rapat. Saya rasa boling adalah satu medium yang sesuai untuk kita kumpulkan semua staff kerana ia melibatkan peserta yang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada 'Bowling Tournament Staff Get-Together' di Coral Crown, Paya Bunga (PB) Sentral, kelmarin.
Aksi menarik peserta.
Turut menyerikan kejohanan itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim yang muncul antara peserta terbaik pertandingan.

Maliaman turut bersetuju dengan cadangan untuk menjadikan pertandingan itu sebagai acara tahunan.

“Syukur kita dapat beraksi dengan selamat dan saya bersetuju kejohanan ini dijadikan acara tahunan.

“Acara hari ini  akan menjadi 'turning point' untuk kerjasama yang lebih erat antara rakan-rakan media,” tambah beliau lagi.

Antara rakan media yang menghangatkan kejohanan itu ialah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Sekretariat Akhbar Menteri Besar Terengganu, Harakah, Manis FM, TV9, TV3, RTM, Kosmo dan NSTP.

Manakala, Ladang Rakyat, Syarikat Air Terengganu (SATU), Permai Hotel, Primula Beach Hotel, EPIC Berhad, TDM Berhad, GPQ dan Golden Pharos mewakili anak syarikat Terengganu Inc.





Tag: