• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kejohanan Piala Yang Di Pertuan Muda Terengganu Jadi Acara Utama Kalendar Pelancongan


Kerajaan negeri bakal menjadikan Kejohanan Piala Yang Di Pertuan Muda Terengganu  sebagai acara teras dalam kalendar pelancongan negeri dalam usaha menarik lebih ramai penyertaan peminat sukan berkuda dari dalam dan juga luar Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat berkata,  pihaknya akan mempergiatkan usaha promosi untuk menarik lebih ramai penyertaan dalam kejohanan itu pada tahun akan datang.

“Kejohanan ini merupakan pertama kali diadakan. Walaupun penyertaan tidak seberapa ramai namun ianya merupakan permulaan yang amat baik dalam usaha kita untuk memperkenalkan dan memperluaskan sukan berkuda kepada seluruh rakyat Negeri Terengganu.

“Apa yang menarik adalah penyertaan di kalangan anak-anak muda daripada peringkat kampung yang turut menyertai kejohanan ini dengan membawa kuda-kuda mereka sendiri serta bersaing dalam acara 20 hingga 80 kilometer,” katanya.


Beliau ditemui pemberita selepas menamatkan saingan bagi kategori VIP 10 kilometer (km) yang berlangsung di Terengganu International Endurance Park, Setiu, hari ini.

Seramai  17 peserta termasuk Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman antara yang turut menyertai saingan itu bagi kategori VIP 10 km.

Selain dari aktiviti sukan kuda lasak, pelbagai acara sampingan turut diadakan sepanjang kejohanan tersebut berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.


Dalam pada itu, Rozi berkata kejohanan anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Royal Terengganu Endurance Stable tersebut secara tidak langsung dapat dijadikan sebagai kayu pengukur dalam persediaan menghadapi kejohanan kuda lasak sempena Sukan SEA ke-17.

“Dengan adanya kejohanan ini, secara tidak langsung kami dapat menguji sendiri trek yang akan digunakan untuk Sukan SEA dari beberapa aspek termasuk dari segi teknikal supaya ianya berjalan lancar kelak, “ katanya.

Tag: