• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

Kelab Bola Sepak Chukai Bantu Asnaf

KEMAMAN, 18 Julai - Kelab Bola Sepak Chukai turut memainkan peranan dalam membantu golongan asnaf atau mereka yang memerlukan apabila turun menyantuni dan menyampaikan sumbangan bakul makanan, semalam.

Penaung Kelab Bola Sepak Chukai, Dato' Dr Leom Joo deck berkata, sumbangan yang mereka lakukan ini adalah hasil kutipan daripada dermawan-dermawan ahli kelab itu. 

"Kami amat berbangga dapat mengadakan program seperti hari ini. Sedikit sebanyak ia dapat membantu mereka yang memerlukan ketika ini.

"Saya juga berharap semua penduduk khasnya di Kemaman, Terengganu dan Malaysia agar mematuhi "Standard Operating Procedures (SOP)" yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Jagalah SOP seperti pakai pelitup muka, cuci tangan dan jaga jarak 1 meter," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika ditemui selepas selesai agihan barang-barang kepada penerima.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan yang disampaikan oleh pihak kelab itu.

"Terima kasih kepada mereka yang sedia menyampaikan bantuan di dalam keadaan kehidupan rakyat yang mengalami kesusahan waktu ini akibat daripada pandemik Covid-19.

"Jadi saya juga mengharapkan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain yang ingin menyampaikan sumbangan juga boleh berjumpa dengan saya.

"Hari ini penerima-penerima kelihatan gembira menerima bakul makanan. Sekurang-kurangnya ia mampu bertahan selama satu hingga dua minggu dan saya yakin selepas ini ada lagi sumbangan- sumbangan yang akan diberikan bukan sahaja daripada kerajaan dan NGO tetapi daripada individu-individu yang mempunyai kewangan yang lebih.

"Inilah masa yang terbaik untuk mereka memberikan sumbangan ini kepada orang-orang yang terkesan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0," ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri.

Dalam program itu, sebanyak 100 bakul makanan yang mengandungi beras dan barangan dapur telah diagihkan di mana mereka terdiri daripada penduduk yang tinggal di Kampung Geliga Jambatan, Kampung Mak Lagam, Kampung Paya Berenjut dan Kampung Geliga.

Turut hadir, Pengerusi Kelab Bola Sepak Chukai, Tan Kwang Ming, ahli jawatankuasa kelab, Jimmy Tan Chun Hiang dan Pengarah Akademi Didik Ulamak Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood.