• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kemalangan Di LPT 2 Akibat Haiwan Ternakan Perlu Diberi Perhatian

KUALA LUMPUR, 8 Disember - Kemalangan akibat haiwan ternakan yang sering kali berlaku di lebuh raya perlu diberi perhatian.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir di Persidangan Dewan Rakyat pada hari ini menggesa kerajaan dan Kementerian Kerja Raya agar menitik beratkan hal itu.

Beliau berkata, berdasarkan kajian yang telah dijalankan di beberapa kawasan di sekitar Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), kebanyakan pagar yang dibina telah dirosakkan oleh penternak bagi memberi laluan kepada haiwan ternakan mereka meragut rumput.

“Perkara ini amat membimbangkan pengguna lebuh raya tersebut sehingga mengakibatkan sering berlaku kemalangan.

“Oleh itu saya memohon keselamatan pengguna dipertingkatkan lagi dengan membina kawalan pagar yang lebih kukuh di sepanjang LPT 2 bagi menghalang kemasukan haiwan ternakan ke lebuh raya tersebut, sekali gus kemalangan dapat dielakkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta agar jalan raya di parlimennya dibaik pulih.

“Saya memohon peruntukan untuk menaik taraf dan membaik pulih jalan seperti di Kampung Bukit Bintang di daerah Besut.

“Jalan ini menjadi laluan keluar masuk pelajar dan guru untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Dor dan Sekolah Kebangsaan Anak Ikan," katanya.

Selain itu, Shaharizukirnain juga mencadangkan agar kementerian mengenalpasti jalan dan kawasan yang berisiko berlakunya kemalangan serta dapat memasang dan menambah lampu jalan.


Tag: