• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KUALA TERENGGANU, 26 Februari- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM10,000 kepada pasukan Terengganu FC II berikutan insiden 'panas' ketika Kejohanan Bolasepak Empat Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu pada awal Februari lalu.

Selain itu, pemain pertahanan TFC II, Muhammad Aqil Irfanuddin Mohd Sabriturut dikenakan denda RM2,000 dan digantung sebulan daripada terbabit dengan sebarang aktiviti bola sepak bermula 24 Februari hingga 25 Mac 2022 akibat melakukan provokasi kepada pemain lawan.

Manakala, Pemain sayap TFC II, Mohammad Ridzuan Mohd Razali pula didenda RM4,000 dan turut digantung selama dua bulan daripada terlibat dengan aktiviti bola sepak bermula 24 Februari hingga 24 April 2022.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Rasid Jusoh berkata, pihaknya menerima denda itu dengan hati yang terbuka jika benar kesilapan dilakukan pemain skuad The Turtles itu.

"Andainya dua pemain TFC II itu betul-betul melakukan kesilapan berkenaan, kita akur dan menerima hukuman itu.

"Ini kerana dalam hujah pembelaan, kita mempertahankan diri, tapi disebabkan kita tidak boleh membuat sebarang rayuan mengenai hukuman itu, kita tiada pilihan selain perlu membayar denda berkenaan," katanya ketika ditemui di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, petang semalam.

Beliau turut berharap, hukuman denda itu menjadi pengajaran berguna kepada semua pemain agar dapat mengawal emosi selain kembali mengamalkan semangat kesukanan yang tinggi. 

Dalam pada itu beliau memaklumkan, kapten skuad kebangsaan Namibia, Petrus Shetembi menjadi pemain import terakhir 'dirantai' Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

"Shetembi yang sudah membuat 60 penampilan bersama skuad kebangsaan negaranya sah kembali ke Terengganu selepas didaftarkan pada hari terakhir jendela perpindahan pertama pemain Liga M pada 22 Februari lalu.

"Pemain import kesembilan TFC Sdn Bhd itu menandatangani kontrak selama semusim sehingga berakhir saingan Liga M musim ini dan didaftarkan bersama pasukan Terengganu FC II (TFC II)," katanya.

Tambah Ab Rasid, kehadiran pemain itu bakal memperkuatkan lagi jentera tengah pasukan TFC dan TFC II dalam menghadapi saingan Liga M yang kian mencabar.

Selain itu, beliu menyatakan pemain pertahanan, Argzim Redzovic belum lagi didaftarkan sebagai pemain naturalisasi kerana masih tidak cukup syarat.

 

 


Tag: