• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Keperitan Hidup Berlantaikan Tanah Selama 13 Tahun Berakhir



Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 12 Jun – Sebuah keluarga penoreh getah yang menghuni rumah berlantaikan tanah selama 13 tahun bakal menerima bantuan khas untuk membaik pulih kediaman tersebut.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batu Sawar, Khaziman Khalik berkata, rumah yang didiami oleh Aminah Ismail, 45 dan suaminya, Mohd Yusof Daud, 47 beserta tiga anaknya telah mendapat perhatian daripada Majlis Adat Istiadat Agama Islam Negeri Terengganu (MAIDAM).

Ujarnya, mereka akan menerima sejumlah peruntukan untuk aktiviti pemasangan atap, lantai dan segala kemudahan asas rumah itu.

"Alhamdulillah, usaha saya memanjangkan perkara ini kepada MAIDAM akhirnya hari ini membuahkan hasil, wakil MAIDAM telah datang dan melihat sendiri keadaan rumah yang serba kekurangan ini.

"Saya berusaha sedaya upaya untuk membantu keluarga ini, dan juga telah dimaklumkan kepada Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, yang juga bersetuju supaya keluarga ini dibantu, "ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media semasa hadir ke kediaman berkenaan di Kampung Bukit Beruk, di Batu Sawar, di sini kelmarin.

Hadir sama, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, serta wakil dari pejabat MAIDAM.

Sementara itu, Aminah berkata, dia amat terharu dengan keprihatinan daripada pihak MAIDAM, Pegawai Penyelaras DUN dan juga Pengerusi MPKK Batu Sawar yang sudi dan tampil membantu mereka.

"Sudah 13 tahun mendiami rumah dengan keadaan sebegini dan amat tidak mampu mendapat rumah yang selesa hanya tidak sekadar untuk dapat berehat dan berteduh.

"Hasil yang diperolehi daripada menoreh getah adalah RM2.70 sekilogram, itu pun harga sebelum menjelang raya baru-baru ini dan bergantung pada cuaca elok jika tidak tiadalah rezeki pada hari berkenaan," ujarnya dengan nada sebak.

Menurut Ghazali, beliau mengesahkan bahawa pasangan berkenaan antara senarai penerima zakat asnaf di DUN berkenaan.

"Setiap kali ada program sumbangan atau apa-apa program bagi membantu keluarga miskin pasangan ini selalu berada didalam senarai dan selalu menjadi keutamaan," ucap beliau.




Tag: