• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

Keputusan Pusat Teruskan ECRL Selaras Saranan MB Terengganu

Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar
KUALA TERENGGANU, 20 Mac - Langkah Kerajaan Pusat untuk meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada skala yang sesuai dengan mengadakan rundingan semula dengan China adalah selaras dengan saranan Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini.

Terdahulu, Dr. Ahmad Samsuri dalam satu kenyataannya (https://www.teganukita.net/2018/08/projek-ecrl-perlu-diteruskan-mb.html?m=1) pada sidang media di Majlis Korban Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Dataran Pemuda di Kampung Rhu Muda pada 22 Ogos 2018 pernah menyuarakan hasrat kerajaan negeri yang mahukan ECRL diteruskan.

Beliau turut mencadangkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya meneruskan projek dengan membuat proses baharu iaitu membuka tender kepada syarikat tempatan untuk mengadakan kerjasama dengan negara luar pada kos yang munasabah.

Katanya lagi, ia selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang amat berharap projek yang memberi manfaat kepada rakyat seperti ECRL dapat diteruskan.

"Walaupun projek ini terhenti selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, kita berharap ia diteruskan dan menjadi pendirian PAS untuk meneruskan mana-mana projek yang dapat memberi manfaat kepada rakyat," ujarnya.

Dr. Ahmad Samsuri juga berkata, amat merugikan sekiranya ECRL dihentikan terus, lebih-lebih lagi proses awal pelaksanaan projek itu sudah berjalan.

“Proses awal membabitkan pembinaan laluan, stesen, terowong dan jambatan sudah pun dilakukan termasuk mengambil alih tanah.

“Malah, ada terowong sudah digali sejauh 50 meter dan pada hemat saya, langkah menghentikan pelaksanaan projek ini satu kerugian," katanya lagi.

Dalam pada itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan keputusan tersebut ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) mengenai status terkini projek ECRL dan sama ada kerajaan akan meneruskan projek berkenaan di persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung.

Beliau turut memberi bayangan bahawa proses rundingan itu akan mengambil sedikit masa lagi dengan perlantikan Tun Daim Zainuddin sebagai Utusan Khas Perdana Menteri bagi mengetuai proses rundingan semula ECRL dengan China supaya penyelesaian 'win-win' dapat diperoleh.

Katanya, hasil rundingan ini akan dimaklumkan apabila dimuktamadkan nanti.

Tag: