• 07 Okt 2024 | 04 Rabiul Akhir 1446

Kerajaan Digesa Bendung Lambakan Sayuran Dari Thailand

KUALA TERENGGANU, 24 April- Kerajaan Terengganu digesa agar mencari jalan membendung lambakan pelbagai jenis sayuran dari dari Thailand yang memasuki negeri ini hingga mengakibatkan para petani tempatan mengeluh kerana pendapatan mereka terjejas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Mohd Yusop Majid berkata, tidak dinafikan negara seberang itu memiliki kepakaran yang tinggi dalam bidang pertanian sehingga menghasilkan sayur-sayuran berkualiti.

"Kemahiran dari negara terbabit boleh dipelajari dan dicontohi namun bukannya membiarkan produk negara terbabit terus memasuki negeri ini.

"Kerana limpahan produk yang masuk dari negara seberang itu akan menyebabkan hasil usaha petani negeri kita ini tidak mendapat sambutan dan harga untuk pasaran akan dimainkan oleh orang tengah.

"Selain itu adalah perlu untuk diaktifkan agensi pemasaran yang tidak membebankan petani, contohnya seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang dahulunya aktif, tetapi hari ini kita tidak berapa mendengar agensi ini memainkan peranan yang sewajarnya dalam membantu para petani," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut, Yusop berkata adalah menjadi harapan para petani supaya pihak FAMA mengaktifkan agensinya supaya dapat membantu para petani mendapat hasil jualan yang sewajarnya.

"Kerajaan negeri juga perlu memberi bantuan yang sewajarnya bagi memastikan industri makanan dalam negeri rancak.

"Kerajaan negeri juga perlu mewujudkan pemantau-pemantau bebas dalam sektor pertanian agar laporan yang diterima adalah tepat, kita tidak mahu orang yang berkait agensi pertanian yang membuat laporan biar ada pihak yang bebas," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri juga perlu membuat pengezonan pertanian supaya tidak terjadi petani mengusahakan tanaman yang sama yang akhirnya mengakibatkan kejatuhan harga pasaran.

"Kalau kita dengar rata-rata tanam jagung, tanam tembikai sehingga hari ini harga dia RM1.20 sekilo cuma ketika Ramadan baru ini harganya mencecah RM3 ia berlaku kerana tidak akan pengezonan.

"Juga menjadi kewajipan bagi pihak kerajaan membuat kawalan dan penguatkuasaan supaya petani dapat meletakkan harga yang sesuai.

"Terakhirnya ialah perlu mengerakkan kempen merakyatkan pertanian dalam negeri Terengganu," ujarnya.