• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Kerajaan Hulur RM100,000 Bantu Perantau

KUALA LUMPUR, 3 Mei - Nasib rakyat Terengganu di perantauan yang terjejas sepanjang pandemik COVID-19 terbela apabila kerajaan negeri menyalurkan peruntukan RM100,000 kepada Sekretariat Kepimpinan Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia merupakan usaha yang jitu daripada pihak kerajaan negeri kepada anak rantau untuk terus membela kebajikan mereka.

"Menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri kepada seluruh anak Terengganu yang berada di perantau dengan harapan ia akan memberi kebaikan dan manfaat yang mampu membantu meringankan beban dialami mereka," katanya,

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Kepimpinan Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan berkata demikian ketika berucap pada Program Sidang Meja Bulat Pimpinan NGO Terengganu di Perantauan Beserta Majlis Iftar Bersama Pimpinan Kerajaan Negeri dirasmikan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di Sunway Putra Hotel, di sini, semalam.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Samiun Salleh, Timbalan Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, Pengarah Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera, Mohd Nasir Abdul Razab dan ketua Sekretariat Kepimpinan Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan, Prof Dr Kamaruzaman Yusoff.

Mengulas lanjut Wan Sukairi berkata, pertemuan yang diadakan itu membawa mesej bahawa kebajikan anak jati negeri tersebut tidak terabai walau di mana sahaja berada.

"Tetap merupakan antara mereka yang berasal dari negeri Terengganu, terutama apabila masih mengekalkan pendaftaran untuk mengundi di Terengganu.

"Beerti kerajaan masih mempunyai tanggungjawab terhadap mereka,"ujarnya.

Dalam pada itu Prof Dr Kamaruzaman berkata dengan sumbangan berkenaan kerajaan telah menunjukkan keprihatian yang tinggi demi membela nasib perantau.

"Saya rasa jumlah ini sangat besar dan kita akan cuba sedaya upaya bagi memastikan wang ini dapat kita kongsi kepada semua pihak yang terlibat.

"Kerana kita dapati sekarang ini ramai yang terkesan terutama yang bekerja sendiri seperti meniaga secara kecil-kecilan sebagai contohnya.

"Jadi saya rasa ini merupakan bantuan yang sangat baik untuk membantu mereka yang berada di luar ini, dan masih memerlukan bantuan daripada pihak kerajaan negeri," ujarnya.

 

 


Tag: