KUALA TERENGGANU, 30 Disember - Kerajaan negeri menghantar 12 orang pelajar cemerlang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara (Algeria) menerusi Program Pinjaman Pendidikan Boleh Ubah Yayasan Terengganu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata, program penghantaran pelajar ke Algeria dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT).
Katanya, majlis tersebut membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperluaskan akses pendidikan berkualiti di peringkat antarabangsa, khususnya dalam bidang Pengajian Islam.
"Alhamdulillah, majlis penghantaran dan penyerahan pendahuluan diri pelajar Yayasan Terengganu ke Emir Abdelkader University of Islamic Sciences, Constantine, Algeria telah berlangsung dengan penuh tertib dan bermakna.
“Walaupun majlis ini diadakan secara sederhana, ia tetap memahat sejarah dan memberi impak besar dalam usaha melahirkan modal insan kelas pertama,” katanya.
Zuraida memaklumkan, pelajar terbabit akan mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda selama empat tahun, bermula Januari 2025 hingga Ogos 2029, melibatkan satu tahun pengajian Asasi dan tiga tahun pengajian Ijazah.
“Kos tajaan bagi setiap pelajar adalah sebanyak RM45,000 yang merangkumi elaun sara hidup serta tiket penerbangan secara one-off,” jelasnya.
Katanya, kerajaan negeri berharap program penghantaran pelajar ke luar negara ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang sebagai sebahagian pelaburan jangka panjang dalam pembangunan pendidikan.
Dalam pada itu, beliau turut berpesan agar para pelajar memanfaatkan peluang yang diberikan dengan sebaiknya serta menjaga sahsiah diri sepanjang berada di perantauan.
“Kalian bukan sahaja membawa nama sendiri, tetapi menjadi duta kecil Negeri Terengganu dan Malaysia. Jagalah akhlak dan nama baik negeri serta negara,” katanya.

Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri amat berbangga dengan pencapaian yang diraih dan berharap para pelajar pulang kelak dengan kejayaan cemerlang serta kembali menyumbang bakti kepada negeri.
“Selamat maju jaya dan semoga saudara saudari sentiasa berada di bawah lindungan serta rahmat Allah SWT,” katanya.
