• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Mahu Atasi Masalah Muara Sungai Cetek


KUALA TERENGGANU, 26 Mac -  Kerajaan negeri akan berusaha memperdalam 14 muara sungai di negeri ini yang semakin cetek sehingga  menyulitkan pergerakan bot-bot nelayan dan pelancong untuk keluar masuk.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, langkah itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bagi membantu ribuan nelayan mendaratkan hasil tangkapan di jeti dan pelabuhan perikanan daerah masing-masing.

Katanya, akibat berdepan masalah itu, kebanyakan nelayan terpaksa mendaratkan ikan di luar kawasan iaitu di beberapa jeti di Kelantan dan Pahang.

“Faktor itu menyebabkan bekalan ikan segar di negeri ini berkurangan walaupun Terengganu sebuah negeri pesisir pantai, sekali gus menjadi punca harga ikan agak mahal.

“Punca lain adalah pencerobohan nelayan asing yang bertindak menceroboh perairan laut Terengganu dengan menggunakan pukat tunda atau pukat kokok yang jelas menyalahi undang-undang di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman, di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Dr Azman turut memberitahu, kawasan tangkapan ikan nelayan pantai Zon A sedia ada akan diperluaskan pada tahun 2020 daripada lima batu nautika kepada 12 batu nautika.

“Langkah ini cukup penting bagi memperluaskan kawasan mencari rezeki nelayan pantai dalam maksud untuk menambah hasil tangkapan mereka selain mengelakkan mengelakkan pencerobohan pukat tunda,” katanya.



Tag: