• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Mahu Rakyat Sihat Dengan Sukan

Syed Saddiq berterima kasih atas kerjasama kerajaan negeri dalam menjayakan Fit Malaysia.
KUALA TERENGGANU, 23 Jun - Kerajaan Terengganu akan menganjurkan aktiviti sukan secara berkala di seluruh daerah bagi memupuk gaya hidup sihat di kalangan rakyat.

Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia sebagai menyambut usaha baik yang dilakukan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melalui program Fit Malaysia.

"Selepas Fit Malaysia, kerajaan negeri akan menganjurkan program-program di seluruh lapan daerah setiap minggu.

"Kita menyokong kuat usaha yang telah dimulakan dan semoga program yang diadakan dapat kurangkan benda-benda yang negatif di tempat kita daripada segi moral, kesihatan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui dalam sidang media Jelajah Fit Malaysia di Dataran Pantai Batu Burok, semalam.

Antara kelainan acara yang dipertandingkan dalam Fit Malaysia Terengganu.
Beliau menyambut kehadiran Syed Saddiq bagi merasmikan Jelajah Fit Malaysia peringkat negeri Terengganu yang diadakan selepas Selangor pada Mac lalu.

Program anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama kerajaan negeri itu berlangsung selama dua hari dengan kehadiran peserta seramai 15,000 orang.

Fit Terengganu turut menghidangkan kelainan apabila menampilkan pelbagai acara baharu, antaranya sukan memanah tradisional, bola sepak pantai, permainan tradisional dan Fun Go Green.

Fun Go Green adalah usaha menyokong konsep baharu yang diterapkan KBS dalam penganjuran kali ini. Salah satu aktiviti yang diadakan adalah Kempen Hindari Penggunaan Plastik Satu Kali Guna dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar negeri.

Pertandingan Beyblade semakin popular di kalangan pelajar sekolah.



Tag: