• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Prihatin Isu Kesesakan Jambatan Marang - MB Terengganu


KUALA TERENGGANU, 11 Jun - Kerajaan negeri prihatin tentang masalah kesesakan lalu lintas di laluan utama jambatan Marang bahkan komited dalam usaha memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya khususnya penduduk setempat bagi mengelakkan kesesakan berlaku pada waktu puncak dan musim perayaan serta cuti sekolah.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, isu kesesakan jambatan Marang telah dibangkitkan kepada pihak berkuasa peringkat Persekutuan pada suku ketiga 2018 yang lepas dan mereka telah memberikan komitmen untuk memasukkan jambatan Marang sebagai projek keutamaan.

“Sama ada pembinaannya akan melibatkan laluan sedia ada (yang melibatkan isu tanah milik dan rumah penduduk, bangunan agensi persekutuan dan lain-lain) atau laluan baharu akan diputuskan kemudiannya nanti.


“Laluan baharu jambatan di kawasan lain merentasi Sungai Marang pula akan juga melibatkan kos yang besar kerana ianya akan melibatkan pembinaan jalan yang baharu,” katanya dalam satu komen dalam facebook beliau.

Ahmad Samsuri berkata demikian bagi menjawab keluhan netizen yang terpaksa berdepan kesesakan yang teruk di laluan berkenaan dalam tempoh perayaan Aidilfitri baru-baru ini.

Kesesakan dalam tempoh empat hari menyebabkan ada netizen  yang terpaksa mengambil masa hampir dua hingga tiga jam dari Kampung Rhu Rendang untuk melepasi jambatan Marang.

Beliau juga berkata, kos pembinaan yang besar  dengan anggaran  RM280 hingga RM320 juta adalah antara sebab pihak negeri berunding dengan Kerajaan Pusat mengenai  isu jambatan Marang.

“Alhamdulillah, ianya telah dimasukkan oleh pihak berkuasa berkenaan dalam Rolling Plan ke-5 di bawah Rancangan Malaysia ke-11,” ujarnya.


Tag: