• 09 Okt 2024 | 06 Rabiul Akhir 1446

Kerajaan Negeri Teruskan Pembangunan Di Tasik Kenyir

Ariffin Deraman /Foto oleh Syaiful Mustafa

HULU TERENGGANU - Kerajaan negeri akan meneruskan projek yang dapat memberi manfaat kepada pembangunan pelancongan di Tasik Kenyir.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, berkata pusat perniagaan Kenyir Trade Centre yang dijangka siap tahun hadapan akan menyemarakkan lagi industri pelancongan di tasik buatan manusia itu.

Katanya, perniagaan bebas cukai ditempatkan dalam kompleks yang lebih luas, mempunyai kemudahan yang baik serta kepelbagaian barangan mampu memberi impak yang positif kepada ekonomi negeri dan juga meningkatkan pendapatan rakyat.

"Kerajaan negeri telah mengeluarkan peruntukan yang besar bagi melaksanakan pembangunan di Tasik Kenyir bagi melengkapkan kemudahan dan tarikan-tarikan bagi meningkatkan kedatangan pengunjung.

"InsyaAllah pembangunan ini akan kita teruskan bagi memastikan industri pelancongan di Terengganu berkembang pesat malah memberi manfaat yang lebih besar kepada negeri dan juga rakyat Terengganu khususnya," katanya ketika merasmikan Majlis Penutup Festival Kenyir 2018 di Pengkalan Gawi, di sini, semalam.


Ariffin berkata, kerajaan negeri juga berbesar hati dapat bekerjasama dengan Ketengah dalam menjayakan Festival Kenyir 2018 sebagai satu wadah untuk mempromosikan lagi Tasik Kenyir di mata pelancong dalam dan luar negara.

"Kita semua maklum bahawa Tasik Kenyir semakin hari semakin mendapat tempat di hati pelancong.

"Ini dapat dibuktikan  peningkatan bilangan pengunjung yang telah mencecah 800,000 orang setahun dan kesemua ini menunjukkan bahawa Tasik Kenyir mempunyai potensi yang besar untuk berkembang dengan lebih pesat lagi pada masa yang akan datang,"ujarnya.

Sementara itu, Ariffin turut menyeru penglibatan penduduk tempatan secara lebih aktif dalam pelbagai bidang seperti pengusaha bot laju, bot rekreasi, rumah bot, jualan makanan, pembuatan cenderamata dan kraf serta berbagai perusahaan lain.

Jelasnya, ini penting dalam usaha untuk menarik lebih ramai lagi pengunjung dan pada masa yang sama menjadi sumber pendapatan yang baik kepada rakyat.

"Saya juga percaya banyak lagi pendekatan yang boleh diteroka dari segi konsep pelancongan di Tasik Kenyir kepada pengunjung dari dalam dan luar negara untuk mengenali Tasik Kenyir dengan sedalam-dalamnya.

"Misalnya Pelancongan Islam yang menawarkan pakej-pakej rekreasi sambil beribadah, pakej Pelancongan Pendidikan bagi menerapkan kesedaran tentang alam, alam sekitar dan hidupan dan sebagainya,"kata Ariffin.


Tag: