• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Usaha Mudahkan Petani Kawasan PKPD

KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 13 buah kampung di Mukim Pelagat, Besut, bermula hari ini, Kerajaan Terengganu berusaha membantu memudahkan petani, peladang, pesawah dan penternak di kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, mereka perlu mendapatkan surat pengesahan terlibat dalam rantaian pengeluaran makanan dari jabatan-jabatan yang berkenaan.

“Dengan surat pengesahan dari jabatan, permohonan pergerakan untuk turun ke sawah, ladang, kebun, kandang dan lain-lain boleh dipohon kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kebenaran pergerakan adalah di bawah bidang kuasa PDRM.

“Jabatan berkenaan adalah sama ada Jabatan Pertanian, FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan), Peladang, KETARA atau Jabatan Veterinar Daerah Besut bagi mereka meneruskan aktiviti rantaian pengeluaran makanan yang dikategorikan sebagai ‘essential services’,” jelasnya dalam satu status Facebook miliknya, semalam.

Tambahnya, beliau turut mengarahkan Pengarah Pertanian Negeri Terengganu supaya membantu dan mempermudahkan urusan penduduk yang terlibat serta menyelaraskan pengeluaran surat pengesahan dengan jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) itu.

“Saya juga telah berbincang sekejap tadi dengan ASP Sabri, Ketua Balai Polis Jerteh agar permohonan boleh diajukan ke Balai Polis Jerteh seterusnya diangkat ke IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Besut bagi pertimbangan Ketua Polis Daerah.

“Ia bagi memudahkan para petani, peladang dan penternak yang berada dalam kawasan PKPD,” ujarnya.


Tag: