• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Kerajaan Pusat Digesa Segerakan Peruntukan Dalamkan Muara Sungai Dungun


DUNGUN, 26 Mac - Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berharap kerajaan pusat menyegerakan kelulusan peruntukan yang dimohon oleh kerajaan negeri bagi pembinaan benteng pemecah ombak serta kerja mendalamkan muara sungai di Kuala Dungun.

Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memerlukan sebanyak RM250 juta untuk melaksanakan kerja-kerja terbabit dan permohonan peruntukan sudah dibuat kepada Kerajaan Persekutuan.

Dr. Mamad berkata, masalah muara sungai Dungun cetek sudah sekian lama membelenggu penduduk di daerah ini yang mana menyulitkan pergerakan bot-bot nelayan dan pelancong untuk keluar masuk.

“Kita sedia maklum, isu muara sungai cetek memerlukan kos yang tinggi untuk diselesaikan. Permohonan sudah lama dibuat dan berkali-kali tetapi peruntukannya masih belum diperoleh.

“Justeru, Kerajaan Pusat diharap dapat memberi perhatian dan mempertimbangkan permohonan ini supaya masalah penduduk di sini dapat diselesaikan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Muara Sungai Dungun dan Projek Pembinaan Hospital Dungun, di sini semalam.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik.

Tambah beliau, masalah muara sungai cetek itu juga perlu diatasi segera bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti kes kemalangan bot yang berlaku dua tahun lalu terus berulang.

“Dalam kejadian itu, empat orang nelayan mati lemas setelah bot kecil yang dinaiki mereka untuk pergi persisir pantai dipukul ombak besar di Pantai Kuala Dungun selepas bot besar mereka naiki sebelum itu terperangkap akibat muara sungai yang cetek,” ujarnya.




Tag: