Sembilan Negara Sertai Candat Sotong di Terengganu Sempena Sail Malaysia
Kerajaan Salur RM3.58 Juta Untuk Pelajar Cemerlang Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 April – Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu menyalurkan sebanyak RM3,581,400 kepada 268 pelajar cemerlang di negeri ini sebagai persediaan melanjutkan pelajaran ke universiti dalam dan luar negara pada tahun 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, agihan biasiswa menerusi Skim Pelajar Cemerlang (SPC) itu melibatkan 239 pelajar dalam negara dan 29 pelajar luar negara.
“Tajaan ini merangkumi pelbagai bidang dengan penekanan utama dalam Perubatan, Pergigian, Kejuruteraan, Teknologi Maklumat, Sains Kesihatan, Pengajian Islam & Perbankan Islam,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Sementara itu, beliau memaklumkan, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) melalui Yayasan Pendidikan MAIDAM telah memperuntukkan bantuan kewangan bagi agihan kepada 21 pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian bermula pada peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD) pada tahun 2024.
Katanya, pelaksanaan agihan tersebut adalah di bawah Bantuan Program Pengajian Islam (Ijazah Sarjana Muda) yang melibatkan 13 pelajar dan Program Memperkasakan Ulama' (Master dan PhD) melibatkan lapan pelajar.
“Bantuan Program Pengajian Islam merupakan bantuan biasiswa penuh yang ditawarkan kepada pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia untuk menyambung pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda yang melibatkan keseluruhan penajaan berjumlah RM231,807.60.
“Manakala Bantuan Program Memperkasakan Ulama' merupakan tajaan biasiswa penuh kepada pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana (Master) manakala tajaan peringkat Doktor Falsafah (PhD) pula adalah tajaan kepada pelajar lepasan Ijazah Sarjana (Master) melibatkan jumlah keseluruhan RM136,832.21,” ujarnya.