Terengganu, TNB Genco Meterai Perjanjian Optimum Sumber Hidro
KUALA TERENGGANU, 7 Mac- Kerajaan Terengganu dengan kerjasama pasar raya besar Giant yang dimiliki oleh GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd. melancarkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) 'Jom Sedekah' bagi membantu golongan memerlukan sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Ketua Hal Ehwal Korporat Dan Kerajaan, GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd, Azahari Mohamed Noh berkata, melalui inisiatif berkenaan, Bank Makanan Ramadan (Jom Sedekah) akan diperkenalkan di semua cawangan Giant di Terengganu.
"Ia melibatkan Giant Kuala Terengganu, Giant Jerteh, Giant Dungun, dan TMC Mesra Mall.
"Melalui program ini, pelanggan boleh membeli barangan keperluan asas pada harga istimewa dan menyumbang ke dalam (Kotak Donasi) yang disediakan di pintu masuk pasar raya," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran program tersebut yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Maliaman Kassim di Pasaraya Giant Kuala Terengganu, semalam.
Menurut beliau, setiap sumbangan akan dikumpulkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu dan disalurkan kepada masjid serta golongan asnaf di seluruh negeri.
"Pelanggan boleh memilih untuk menyumbang sama ada dalam bentuk set kotak makanan bernilai RM30 atau barangan secara individu," ujarnya.
Selain itu katanya, kempen 'Jom Sedekah' turut merangkumi program khas di mana Giant bersama Kerajaan Negeri Terengganu akan menaja anak-anak kurang berkemampuan pada 15 Mac ini untuk mendapatkan pakaian baharu sempena Aidilfitri.
"Pada hari sama kita juga akan menganjurkan program agihan bubur lambuk percuma yang akan diedarkan kepada masyarakat di beberapa lokasi terpilih di Terengganu," katanya.
Dalam pada itu Azahari berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Kerajaan Terengganu bagi menjayakan kempen tersebut yang telah bermula 1 Mac lalu sehingga 23 Mac ini.
"Kerjasama erat ini membolehkan kami menyalurkan bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan, terutama dalam menghadapi bulan Ramadan.
"Kami percaya bahawa usaha ini bukan sahaja meringankan beban golongan kurang bernasib baik, tetapi juga menggalakkan budaya bersedekah dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat," ujarnya.
Sementara itu, Maliaman merakamkan penghargaan kepada Giant kerana memperkenalkan program yang memberikan manfaat besar kepada rakyat Terengganu.
"Dengan adanya inisiatif ini, lebih ramai golongan memerlukan termasuk asnaf dan masjid dapat menikmati bantuan sepanjang Ramadan ini.
"Kami berharap kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang," ujarnya