• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Kerajaan Terengganu-KTMB Lancar 'Beautiful Terengganu, Malaysia' di KL Sentral

Dr Ahmad Samsuri (dua dari kanan) melancarkan Kempen 'Beautiful Terengganu,  Malaysia' di KL Sentral diiringi Ariffin (kanan) dan Saimi (tiga dari kanan). -Foto Syaiful Mustafa

KUALA LUMPUR - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengadakan kolaborasi dengan Kerajaan Terengganu bersempena kempen 'Beatiful Terengganu,  Malaysia' bagi memajukan lagi industri pelancongan negeri itu.
 
Menteri Besar Terengganu,  Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata,  kolaborasi itu menonjolkan keunikan dan keindahan destinasi pelancongan Terengganu melalui jalinan rangkaian laluan Perkhidmatan Keretapi Berelektrik (ETS) sekaligus meningkatkan jumlah kunjungan pelancong ke Terengganu dengan adanya paparan  produk dan destinasi pelancongan pada tren ETS.
 
"Kolaborasi KTMB dalam merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk melihat penjenamaan imej pelancongan negeri berimpak besar dan mendapat kelebihan kompetitif, turut memberi kesan positif kepada KTMB, " katanya dalam satu kenyataan media sempena majlis Pelancaran Tren ETS berpaparan Beatiful Terengganu,  Malaysia di Kuala Lumpur Sentral di sini 22 September.
 
MB (kiri) memperkenalkan Nasi Dagang Terengganu, produk T-Kichen  bersama Ariffin (dua dari kiri) dan Saimi (dua dari kanan).
 
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan,  Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri,  Ariffin Deraman,  Pengarah Pelancongan Negeri,  Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Pengurus Besar Perkhidmatan ETS,  Encik Saimi Abdullah.
 
Sementara itu,  hasrat Menteri Besar untuk menjadikan Negeri Terengganu kini lebih bersedia untuk dinobatkan sebagai negeri pelancongan yang mempunyai rangkaian kemudahsampaian yang efisyen.
 
Saimi (kanan) menjelaskan sesuatu kepada Dr Ahmad Samsuri (duduk) berkait dengan operasi tren.
Ini kerana kerjasama dengan KTMB ini akan menonjolkan impak positif kepada promosi pelancongan negeri yang dilaksanakan secara inovatif dan kreatif, selain bertujuan bagi memeriahkan lagi persada pelancongan negeri sempena kempen tersebut.
 
Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, berkata, penyediaan menu nasi dagang dan keropok lekor keluaran T-Kichen Terengganu turut menjadi nilai tambah kepada memperkenal keunikan makanan tradisional Terengganu kepada pengguna tren ETS yang terdiri daripada pengguna domestik dan antarabangsa. 
 
Sehubungan itu,  Kerajaan Terengganu amat berbesar hati dengan kolaborasi bersama KTMB dengan harapan jalinan sebegini menjadi pencetus kepada jalinan dengan syarikat-syarikat korporat.

Menteri Besar berkata,  Ia juga meningkatkan lagi tahap kesedaran kepada jenama "Beautiful Terengganu, Malaysia" secara kreatif dan inovatif melalui penonjolan imej destinasi dan produk pelancongan di Negeri Terengganu.
 
"Dengan purata jumlah penumpang 10,695 orang sehari dan purata jumlah penumpang sebulan seramai 324,635 orang, paparan sebegini mampu mencapai sasaran pengguna di setiap hentian di laluan dari utara ke selatan Semenanjung Malaysia.
 
"Ia membuktikan kekuatan imej yang paling efektif dan ekonomi di dalam kempen galakan dan promosi, " jelasnya.
 
Hasrat Menteri Besar untuk menjadikan Negeri Terengganu kini lebih bersedia untuk dinobatkan negeri pelancongan yang mempunyai rangkaian kemudahsampaian yang efisyen.
 
"Ini termasuk rangkaian perkhidmatan pengangkutan yang mesra pelancongan,  prasarana yang mencukupi dan khazanah alam semulajadi,  seni,  budaya dan warisan yang mampu menggamit kehadiran pengunjung, " jelasnya.
 

Tag: