• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Kerjasama Kerajaan Negeri, PETRONAS, Manfaat Buat Komuniti

KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Kerjasama erat antara kerajaan negeri bersama PETRONAS diharap berterusan dalam mengatasi jurang digital serta membantu rakyat di negeri ini menikmati limpahan manfaat ekonomi dan kesejahteraan komuniti.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kolaborasi tersebut mampu membuahkan faedah buat masyarakat seperti penyaluran gajet kepada 735 pelajar dari lima buah daerah (Kemaman, Besut, Kuala Nerus, Dungun dan Marang).

“Jumlah keseluruhan sumbangan program CERDIK tajaan Yayasan PETRONAS ini adalah RM1.8 juta untuk negeri Terengganu.

“Besar harapan saya agar kerjasama dan hubungan baik antara ini berterusan ibarat kata orang tua-tua, ‘pecak boleh dilayangkan, bulat boleh digulingkan, batu segiling pecak setapik,” katanya menerusi ciapan di Facebook rasminya, semalam.

Terdahulu, Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abd Rahman berkata, bantuan itu turut meliputi penyelenggaraan peralatan serta jaminan dan sokongan teknikal selama tiga tahun bagi setiap pelajar.

“Usaha ini adalah sebahagian daripada sumbangan RM30 juta oleh Yayasan PETRONAS melalui program CERDIK yang melibatkan 12,000 pelajar di seluruh Malaysia," katanya.