• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Kerjasama Masyarakat Bantu Realisasikan MBS


Oleh : Hailmey Mansor

KUALA NERUS, 29 Mac- Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong perlu diadakan secara berterusan kerana ia boleh menjadi platform terbaik mengeratkan kerjasama serta membudayakan penjagaan kebersihan bagi merealisasikan 'Maju, Berkat dan Sejahtera' di Terengganu.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab berkata, melalui kerjasama ini, ia dapat menjayakan program yang dianjurkan oleh pihak kerajaan dalam apa jua bentuk perlaksanaan.

"Saya harap penduduk sekitar turun untuk menjayakan sesuatu program yang dianjurkan terutamanya program gotong-royong,hari keluarga dan sebagainya.

"Kita tidak mahu program yang  dianjurkan nanti orang kata 'syok sendiri' apabila tiada sambutan daripada masyarakat setempat,"ujarnya ketika berucap di  program 'Langkah Sihat Bersama Komuniti Kampung Batin', di perkarangan Masjid Kampung Batin, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Seberang Takir, Zakaria Dagang dan timbalan beliau,Roslan Abdullah serta hampir  200 orang penduduk kampung berkenaan.

Beliau juga berkata,program seperti ini kebiasaannya kurang mendapat kerjasama daripada penduduk setempat.

"Alhamdulillah,setakat yang saya lihat pagi ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk sekitar,"kata Fazil lagi.

Program Langkah Sihat ini dianjurkan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Batin dengan kerjasama Pejabat Khidmat DUN Seberang Takir.

Turut diadakan acara cabutan bertuah dengan tawaran 40 hadiah termasuk hadiah utama sebuah basikal.


Tag: