lightning-solid
Berita :
Kerjasama Strategik TTITC–Hartamas Land Pacu Industri Perabot Terengganu
Kerjasama Strategik TTITC–Hartamas Land Pacu Industri Perabot Terengganu
Rohayati Ripin
8 jam yang lepas
64

KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Terengganu melangkah setapak lagi dalam memperkukuh ekosistem industri berasaskan kayu apabila Terengganu Timber Industry Training Centre (TTITC) Production Sdn. Bhd. memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Hartamas Land Sdn. Bhd. bagi menjayakan kolaborasi strategik pembukaan kilang perabot di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan  Wanita, Keluarga, Dan Perpaduan Nasional, Maliaman Kassim berkata, kerjasama tersebut merupakan langkah proaktif yang menghubungkan institusi latihan industri dengan sektor swasta ke arah pembangunan industri, latihan kemahiran dan pertumbuhan ekonomi mampan.

Menurutnya, melalui MoU itu, cadangan kerjasama antara anak syarikat TTITC dengan Hartamas Land Sdn. Bhd. melibatkan pembukaan kilang perabot di atas tanah milik TTITC, dengan Hartamas Land bertindak sebagai pelabur utama.

“Nilai pelaburan dijangka mencecah RM10 juta, melibatkan pembangunan kilang lengkap dengan ruang pemprosesan kayu gergaji, pembuatan perabot, stor simpanan, kuarters atau asrama pekerja serta ruang pameran,” jelasnya.

WhatsApp Image 2026-01-01 at 3.24.34 PM (1).jpeg 185.52 KB
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah TTITC berkata demikian ketika dihubungi hari ini.

Maliaman menjelaskan, dari sudut operasi, kilang berkenaan disasarkan untuk mula beroperasi seawal awal tahun 2026, manakala fasa pembinaan dan pengeluaran perabot secara menyeluruh dijangka bermula dalam tempoh dua tahun selepas itu.

Tambahnya, antara aktiviti utama kilang tersebut ialah pemprosesan kayu bergergaji, pembuatan pelbagai jenis perabot, penyimpanan stok, aktiviti jualan, pusat pameran dan pelaksanaan latihan kemahiran.

“Bagi memastikan kelangsungan operasi, sumber bekalan kayu balak akan diperoleh daripada konsesi kawasan pembalakan, pembelian daripada syarikat pembalakan berkaitan kerajaan dan alternatif lain pada harga berpatutan bagi mengawal kos pengeluaran serta meningkatkan daya saing produk,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, apabila beroperasi kelak, kilang ini dijangka menghasilkan pelbagai produk termasuk kayu bergergaji, perabot dalaman dan luaran, pintu rintangan api, pintu panel, kerangka pintu dan tingkap, perabot sekolah, produk epoxy, selain wakaf, gazebo serta perabot taman.

WhatsApp Image 2026-01-01 at 3.24.34 PM.jpeg 254.38 KB
“Kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, malah diharap mampu memberi impak positif terhadap pembangunan modal insan serta ekonomi negeri secara keseluruhannya,” katanya.

Majlis menandatangani MoU tersebut turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Ekonomi Hijau Negeri Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong,  Zawawi Ismail serta rakan strategik.


Tag :

Artikel Berkaitan