• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KUALA TERENGGANU, 16 November - Kelab Bola Sepak M4 dari Terengganu, Kelab Bola Sepak Kerteh (Kerteh FC) bersama Yacob Tahir Enterprise Sdn Bhd, melancarkan beras Premium Super Import Cap Buah-Buahan sebagai salah satu produk terbaharu kelab berkenaan.

Presiden Kerteh FC, Mohd Razeman Mat Nashim, menyifatkan usahasama itu membuka ruang dan lebih peluang kepada Kerteh FC melebarkan jenamanya di pasaran.

"Memanfaatkan pemasaran melalui medium sukan bola sepak kini telah menjadi satu trend baharu kepada Industri Kecil dan Serdahana (IKS) di dalam negara ketika ini. 

"Kami percaya hubungan keusahawanan dan perniagaan dalam industri sukan dapat membuka jalan yang lebih luas kepada mana-mana IKS dalam mengembangkan perniagaan mereka.

"Harapan kami, kerjasama bersama syarikat Yacob Tahir Enterprise ini akan dapat dipertingkatkan lagi pada masa hadapan, bukan sahaja hanya mengeluarkan beras tetapi ada juga beberapa produk barangan asas yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan selepas majlis pelancaran ringkas usahasama itu di ibu pejabat syarikat kelab, KAL Services Sdn Bhd, Kerteh, hari ini.

Melalui usahasama berkenaan, logo, warna rasmi dan elemen-elemen kelab Kerteh FC bukan sahaja berada pada plastik bungkusan beras, tetapi juga akan turut diletakkan pada kenderaan pengangkutan seperti lori tangki dan kargo syarikat tersebut bagi tujuan iklan dan komersial.

Manakala logo beras Cap Buah-Buahan pula akan diletakkan pada lengan jersi utama Kerteh FC.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yacob Tahir Enterprise, Mohamad Adam Suffian Yacob menzahirkan kegembiraan atas kerjasama yang dimeterai.

"Pihak kami merasa yakin dengan kekuatan jenama Kerteh FC yang merupakan sebuah kelab yang sedang membangun serta mempunyai nilai komersial tambahan di pasaran apatah lagi ia adalah antara pasukan bola sepak komuniti yang sedang mencipta nama ketika ini.

"Diharap dengan kerjasama ini dapat membawa jenama beras kami ke pasaran yang lebih luas capaiannya selepas ini", katanya.

 

 

 

 

 


Tag: