• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

Kes Rasuah Libatkan Penjawat Awam Terengganu Terkawal


KUALA TERENGGANU, 28 April - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menegaskan bahawa penglibatan penjawat awam negeri ini dalam gejala rasuah masih terkawal.

Pengarah SPRM Terengganu, Mohd. Zaki Hassan berkata, 10 tangkapan dicatatkan bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.

Katanya, SPRM Terengganu akan terus berusaha meningkatkan tahap kesedaran untuk memastikan statistik penjawat awam terlibat dalam gejala rasuah dapat dibendung pada masa hadapan.

“Sepuluh individu itu termasuk seorang ahli politik telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah. Lain-lain enam orang melibatkan pegawai kerajaan, seorang melibatkan orang awam dan dua lagi melibatkan pekerja swasta.

“Kesalahan yang dikesan di negeri ini kebiasaannya melibatkan menerima suapan dan salah guna kuasa,bagaimanapun penglibatan rasuah di kalangan penjawat awam di Terengganu adalah terkawal,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Taklimat Khas SPRM Terengganu Bersama Pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu yang turut dihadiri Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, pemantauan terhadap agensi-agensi kerajaan akan terus dilaksanakan tetapi secara umumnya gejala rasuah di pejabat kerajaan di negeri ini sama ada melibatkan kakitangan awam negeri mahupun pusat masih dalam kedudukan terkawal.

Tag: