• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kesedaran Tinggi Jadikan Persilatan Melayu Sebagai Ko-Korikulum

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Kesedaran tinggi dalam mengukuhkan jati diri generasi muda melalui ilmu telah menjadikan Persilatan Melayu sebagai Ko-Korikulum di 53 buah sekolah di negeri ini.

Yang Dipertua persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, program Satu Sekolah Satu Silat (1S1S) dijalankan sebagai usaha untuk memperkenalkan seni pertahanan diri itu kepada pelajar.

“Ini adalah warisan budaya kita berdasarkan ajaran agama Islam kita yang padat dengan nilai disiplin cukup tinggi untuk pembinaan jati diri. Inilah yang kita mahu terapkan dlm program ISIS.                                                    
“Saya juga percaya bahawa anak-anak generasi baru perlu mempunyai jati diri yang tinggi dalam membawa diri dalam kehidupan masing. Antara cara yang boleh mengukuhkan jati diri generasi muda adalah melalui ilmu persilatan,” jelasnya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Kejuaraan 1S1S negeri Terengganu secara atas talian, baru-baru ini.

Katanya, matlamat pendidikan bukan sekadar nak lahirkan warganegara yang baik dan produk bagi memenuhi keperluan negara dalam pelbagai sektor tetapi mereka juga dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran.

“Kita sudah punyai pelbagai program ko-kurikulum termasuk seni mempertahankan diri seperti judo, karate yang diimpot dari luar dengan disiplin mereka.

“Kita mahu adab Islam dalam dunia persilatan kita seperti menghormati dan mematuhi arahan guru, bekerjasama dalam satu pasukan, bahkan niat belajar silat dari awal diperbetulkan, bukan untuk riak dan mencabar orang tapi sebagai pertahanan diri serta membantu mereka yang menjadi mangsa dan perlu dibantu,” ujar Dato Yahaya.

Menurutnya, selain mempunyai nilai-nilai disiplin tinggi yang diterapkan dalam silat, ia juga turut menjadi warisan yang sepatutnya menjadi kebanggaan anak bangsa.

Justeru itu, beliau berharap program seumpama ini, yang mengangkat warisan kebudayaan  perlu diteruskan lagi pada masa akan datang. 

“Saya ucapkan tahniah dan syabas sekali lagi buat para penganjur diatas kejayaan penganjuran 1S1S ini,” tambah beliau lagi.