• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Ketengah Peruntuk RM83.4 Ribu Kepada Pelajar Cemerlang

DUNGUN, 30 Disember -Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memperuntukkan RM83.4 ribu sebagai sumbangan kepada 103 pelajar yang cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, sumbangan berupa wang tunai dan sijil penghargaan sebagai tanda keprihatinan dan kecaknaan Ketengah.

"Ia melibatkan 54 pelajar SPM dengan jumlah peruntukan RM44,000 dan 49 pelajar STPM dengan jumlah  RM39,400 melibatkan tiga daerah iaitu Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.

"Pelajar-pelajar ini adalah wajar diberi penghargaan dengan menyalurkan sumbangan dalam bentuk kewangan bagi membantu meringankan beban keluarga untuk memastikan perjalanan pendidikan mereka diteruskan ke peringkat yang lebih tinggi," ujarnya kepada pemberita.

Dalam perkembangan yang sama, sebanyak RM1,030,000 telah diperuntuk dalam menyediakan keperluan kepada 998 mangsa pasca banjir dan yang terkesan COVID-19.

"Ia merangkumi Kit Bantuan Bencana, Bantuan Pembaikan Rumah, Bantuan Input Pertanian dan Bantuan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

"Seramai 37 sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Ketengah juga telah digerakkan bersama peralatan logistik lengkap seperti kenderaan bagi membantu mangsa banjir," katanya.