• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kiriman Sumbangan Untuk Ikhwan Tanda Prihatin MB


Oleh :Nooreni Abu Bakar

DUNGUN - Keprihatinan dan simpati Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar terhadap  seorang pemuda orang kelainan upaya (OKU) menyebabkan beliau mengirimkan sejumlah wang untuk tujuan perubatan.

Pemuda itu, Nur Ikhwan Ariffin, 33, menerima sumbangan melalui Pegawai Khas Menteri Besar,  Sabri Zakaria yang disampaikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Haji Alias Harun sebelum diserahkan kepada Ikhwan.

"Saya telefon MB, sebab bimbang bantuan yang saya terima tidak dapat menampung kos perubatan yang tinggi," ceritanya.

Ikhwan berkata demikian ketika ditemui wakil media sempena kunjungan Alias bagi menyampaikan kiriman tersebut di rumahnya di Seberang Pintasan, semalam.


Dia kehilangan kedua belah kaki sehingga paras paha yang terpaksa dipotong  akibat jangkitan kuman dan hanya mampu bergerak menggunakan bantuan kerusi roda.

"Cikgu Alias sentiasa bantu saya untuk cukupkan duit beli ubat untuk  cuci, supaya tidak merebak," katanya yang tinggal seorang di rumah peninggalan kedua orang tuanya.

Menurutnya, selain sumbangan bulanan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), dia juga menerima Zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Negeri Terengganu (MAIDAM) dan  daripada kaum keluarga.

"Abang saya yang tinggal di Kuala Lumpur beri juga duit," katanya.

Di dalam pertemuan itu, Alias turut berpesan agar tidak meninggalkan sembahyang fardu.

"Sembahyang yang akan beri kekuatan kepada kita, walaupun macamana sekalipun keadaan kita, sembahyang jangan tinggal," pesan beliau lagi.

Tag: