• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

'Kita Semua Satu Keluarga' -Yang Dipertua DUN

Oleh : Rohayati Ripin

SETIU, 11 Disember - Semua kakitangan yang berkhidmat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu diibaratkan sebagai satu keluarga yang membawa kepada kecemerlangan institusi tersebut.

Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato' Haji Yahaya Ali berkata, kekuatan itu diterjemahkan kesungguhan kerja dalam bahagian dan bidang masing-masing.

"Kita semua adalah satu keluarga yang mana setiap seorang daripada ahli keluarga itu mempunyai kekuatan tersendiri.

"Kesungguhan, kegigihan dan iltizam adalah bermula daripada mereka yang merupakan keutamaan kita," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Makan Malam Hari Keluarga DUN di Sutra Beach Resort, Setiu, pada semalam.

Menurutnya, walau sesibuk mana sekalipun keluarga adalah tempat untuk bina kekuatan dalam meneruskan tanggungjawab.

"Saya nampak hubungan kekeluargaan sesama pegawai semakin hari semakin kukuh. Kita boleh bentuk satu suasana kerja berpasukan. 

"Tinggal lagi bagaimana kita nak pertingkatkan lagi kerja berpasukan. Kita juga dapat teruskan program usrah yang saya  yakin sedikit sebanyak beri manfaat dalam kita memahami tanggungjawab kita," ujar beliau.

Dato' Yahaya menambah, pentingnya bina tiga prinsip iaitu mengenali, kesefahaman dan keseimbangan di kalangan ahli  kakitangan dan keluarga agar boleh nikmati bersama hasilnya.

"Pentingnya pembinaan keluarga  dengan maksud kita mesti kenal sesama kita bukan sekadar kenal nama tapi kenal lebih mendalam lagi, keluarga, masalah dan apa yang suka dan tak suka.

"Yang kedua suatu persefahaman  yang diasaskan kepada agama kita iaitu bagaimana sesama kita mempunyai sikap kefahaman yang sama untuk sama-sama menjunjung  tanggungjawab sebagai seorang Islam.

"Keseimbangan dalam kalangan pegawai kita dan  keluarga masing-masing supaya tidak ada kalangan ahli keluarga ini yang terbiar dan terpinggir," katanya lagi.

Justeru itu, beliau berharap dengan kehadiran ahli keluarga dapat memberi Inspirasi untuk terus berjaya pada masa akan datang.


Tag: